Keluarga Diraja Myanmar bantah Drama Thailand.

YANGON: Keluarga diraja terakhir Myanmar mengecam tindakan sebuah drama televisyen terbitan Thailand, ‘A Lady’s Flame’, yang memaparkan kisah yang diilhamkan dari cerita tipu daya istana Myanmar dahulu kala.

Soe Win iaitu cicit lelaki kepada raja terakhir Myanmar, Raja Thibaw memberitahu AFP pada Ahad bahawa drama tersebut jelas menunjukkan layanan tidak adil Thailand ke atas institusi diraja negara lain.

Drama soap opera yang menceritakan tentang perebutan berdarah kuasa dinasti itu, dirakam di dalam sebuah set fiksyen kerajaan lama yang berlatarbelakangkan era dinasti Konbaung pada abad ke-19 di negara berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Burma.

Antara yang mencetuskan kemarahan adalah drama berkenaan menggambarkan kejahatan ratu dan puteri yang merancang pembunuhan besar ke atas hampir 100 nyawa hanya bagi memastikan Thibaw tidak mempunyai pesaing takhta selepas kematian bapanya pada tahun 1878.

Walaupun pembunuhan beramai-ramai berkenaan merupakan sebuah fakta sejarah, ahli keluarga Thibaw kecewa dengan gambaran yang diberikan kepada keluarga mereka, lebih-lebih lagi oleh sebuah negara yang melarang kritikan ke atas raja sendiri.

“Kami telah meminta Thailand menerima dengan hati terbuka sekiranya perkara yang sama dilakukan oleh salah satu syarikat drama di sini tentang institusi diraja mereka.

“Apa yang dilakukan mereka adalah satu penghinaan, menggambarkan seolah-olah Raja Myanmar ini jahat. Jika tiada tindakan diambil, kami mungkin akan meminta royalti dari Thailand,” kata Soe Win kepada AFP.

Thailand sebelum ini menguatkuasakan undang-undang ‘lese majeste’ yang melarang kajian atau kritikan terhadap institusi diraja Thailand.

Mereka yang dihukum penjara kerana mengkritik keluarga diraja Thailand semakin meningkat dan hukuman boleh mengjangkau sehingga 30 tahun.

Baru-baru ini, seorang ahli sejarah dan seorang pelajar dipenjara kerana menulis mengenai kisah hidup seorang Raja Thailand empat dekad lalu dan menghina anjing kesayangan mendiang Bhumibol Adulyadej.

Thailand dan Myanmar adalah musuh ketat selama berabad-abad dan pernah terlibat dalam beberapa peperangan berdarah.

Salah satu pertempuran yang paling bersejarah menyaksikan tentera Myanmar menyerang ibu negara kedua kerajaan Siam iaitu Ayutthaya sehingga menjadi padang jarak padang terkukur pada 1767 dan memaksa penduduk meninggalkan bandar.

Dalam drama dan pementasan sejarah oleh Thailand, Burma sering digambarkan mempunyai kecenderungan jahat atau khianat.

Bagi warga Burma kejatuhan monarki rajanya pada tangan British beberapa tahun selepas Thibaw mengambil takhta itu meninggalkan parut psikologi yang mendalam.

Thibaw mangkat dalam buangan di India walaupun terdapat rancangan untuk mengembalikan jenazahnya ke tanah airnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *