Kerajaan tak ada bukti kukuh untuk dakwa pihak seleweng 1MDB

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa pihak-pihak yang terlibat dalam penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penemuan-penemuan berkaitan 1MDB yang didedahkan kepada awam bukan sepenuhnya, lantaran itu kerajaan memerlukan bukti penuh sebelum mendakwa pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, baik Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu pun Peguam Negara (AG) tidak dapat menentukan kes yang berlaku.

“Apa yang kita tahu berlaku pemindahan wang ke beberapa akaun tetapi ia bukan itu sahaja.

“Jika kira hendak mendakwa seseorang, kita perlu tahu keseluruhan kes,” katanya ketika menjawab soalan seorang peserta dalam majlis makan tengah hari anjuran MIDF di sini hari ini.

Johari menjelaskan, tindakan mahkamah di Singapura terhadap beberapa individu yang bekerja di bank-bank membabitkan 1MDB disebabkan kesalahan urus tadbir yang berlaku di sana dan bukan di Malaysia.

Malah, beberapa tertuduh adalah dalam kalangan warga Singapura.

“Mereka ini didakwa kerana tidak tahu siapa pelanggan mereka. Bagaimana anda boleh menerima wang tanya mengetahui pelanggan.

“Singapura perlu melakukan pertuduhan kepada mereka kerana jika tidak, ia akan menjejaskan institusi kewangan Singapura,” ujarnya.

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat juga masih belum menyelesaikan siasatan kerana perlu mengumpul pelbagai butiran.

“Ini bukan kes boleh cuba-cuba. Perlu ada bukti yang lengkap dan kukuh sebelum sebarang pertuduhan boleh dikenakan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Johari, siasatan 1MDB adalah yang paling telus pernah dilakukan berbanding isu Perwaja dan kerugian mata wang sehingga kes ini diketahui di peringkat dunia.

Sementara itu, beliau berkata, siasatan yang sedang dijalankan oleh pelbagai pihak berkuasa perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana Malaysia bergantung kepada keterangan yang ada sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Johari juga menegaskan bahawa terdapat timbang tara dengan International Petroleum Investment Company dan sebarang tindakan yang diambil semasa timbang tara itu akan melemahkan kedudukan Malaysia.

“Sudah tentu jika anda bercakap mengenai emosi, kita mahu mengambil tindakan. Tetapi pada akhirnya nanti, kerajaan tidak bertindak dengan strategi emosi. Kita perlu benar-benar pasti kepada apa yang kita mahu lakukan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *