Kerana salah faham, warga Myanmar dikelar dengan pisau pemotong daging

PARIT BUNTAR – Seorang warga Myanmar maut dikelar rakan serumah setelah dipercayai terbabit dalam pergaduhan sesama mereka di sebuah rumah kedai di Pusat Bandar, Fasa 2, di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengahari hingga 2 petang itu, seorang lelaki berusia 31 tahun maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian leher.

Sinar Harian difahamkan kejadian berlaku berpunca daripada pergaduhan awal akibat salah faham sebelum mangsa dikelar leher oleh suspek yang dipercayai merupakan rakan serumah dan senegara.

Sebaik kejadian, suspek difahamkan melarikan diri dengan membawa senjata berupa pisau pemotong daging sebelum meninggalkannya di dalam longkang berhadapan sebuah pejabat kerajaan negeri, kira-kira 50 meter dari rumah sewa didiaminya dan suspek.

Mangsa dan suspek difahamkan turut bekerja di kilang yang sama di Pulau Pinang, manakala punca pergaduhan tidak dapat dikenal pasti.

Susulan kes itu, sejumlah tujuh individu warga Myanmar dipercayai rakan serumah mangsa dan suspek dibawa ke balai polis bagi membantu siasatan.

Sekitar lokasi kejadian, kelihatan kelibat anjing pengesan Unit K9 daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digunakan bagi menjejaki suspek yang melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *