Kongres Filipina pecat Setiausaha Luar Negara kerana ada dua kewarnganegaraan

Manila: Anggota Kongres Filipina semalam memecat sekutu rapat Presiden Rodrigo Duterte sebagai Setiausaha Luar negara itu akibat beberapa isu membabitkan kelayakan dan kegagalannya membuktikan dia bukan warga Amerika Syarikat (AS) sebelum dilantik.

Suruhanjaya Perlantikan sebulat suara tidak meluluskan Perfecto Yasay sebagai setiausaha.

Beberapa jam sebelum itu Yasay diasak dalam perbicaraan apabila dia disoal mengenai taraf kerakyatan dan kenyataannya yang tidak konsisten dalam wawancara televisyen serta terhadap anggota kongres.

Yasay dilantik sebagai Setiausaha Luar sejak Duterte menjadi presiden pada Jun tahun lalu.

Di Filipina, perbicaraan perlantikan boleh dilakukan walaupun setiausaha sudah lama memulakan tugas.

Peguam yang berkelulusan dari AS, bekas rakan sekelas dan sekutu Duterte itu adalah Setiausaha pertama meninggalkan Kabinet pemimpin itu.

Pelbagai tuduhan dibuat terhadap Yasay sebelum ini tetapi yang paling menjadi persoalan sama ada dia masih warga AS ketika dilantik pada 30 Jun tahun lalu.

Yasay menafikan dia warga AS tetapi mengaku mendapat kerakyatan itu pada 1980-an namun melepaskannya untuk kembali ke Filipina.

Menurutnya, dia beberapa kali menggunakan pasport Filipina untuk melawat AS sekali gus menunjukkan Washington menerima dia bukan rakyat negara itu lagi.

Bagaimanapun, rekod Perkhidmatan Pendapatan Dalaman AS menunjukkan Yasay mungkin masih memegang kerakyatan negara itu ketika menjadi Setiausaha Luar.

Tidak dapat dipastikan siapa yang bakal menggantikan Yasay dalam peranan penting ketika Manila secara agresif cuba menjalinkan hubungan perniagaan dan pertahanan lebih rapat dengan China, Russia dan Jepun.

Manila juga pengerusi Pertubuhan Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *