Mahathir Mahu Rampas Pakatan Harapan Dari Anwar Ibrahim Selepas PRU14

21/03/2017 – Pendekatan “politik poligami” PKR kini dilihat tidak panjang hayatnya apabila gandingannya iaitu PAS, mula mempersoalkan “keadilan” PKR dalam hubungan tiga seginya dengan DAP.

Ini kerana syarat PAS yang menegaskan bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan politik langsung dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) kini mendorong parti itu memberi kata dua pada PKR untuk pilih PAS atau, DAP dan PAN.

Dalam pada itu, PAS juga sedar bahawa prasyarat yang sama diletakkan pada rundingan kerjasamanya politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mendorong parti itu memilih untuk bergabung dengan Pakatan Harapan.

Oleh itu, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak, satu perkara sudah hampir pasti ialah pemilihan rakyat yang akan berlaku dalam tempoh setahun setengah dari sekarang itu pasti akan menyaksikan persaingan tiga blok politik.

Bagaimanapun, parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah pasti menjadi blok utama. Kedua pula ialah Pakatan Harapan dan juga Blok Gagasan Sejahtera yang dikongsi PAS, IKATAN dan Berjasa.

Namun bagaimanapun, benang terakhir yang mengikat PAS dan PKR dalam poligami politik luar biasa di Selangor dijangka putus dalam Muktamar PAS ke-63 di Kedah akhir April hingga 1 Mei depan.

Jika dilihat setakat ini sudah ada dua kawasan PAS mengesyorkan supaya mentalak PKR dari tahaluf siyasi yang dijalin sejak tahun 2008 itu lagi.

Dalam mesyuarat agung tahunannya minggu lalu, PAS Permatang Pauh telah sepakat membawa usul memutuskan hubungan dengan PKR.

Ini kerana menurut Yang Dipertuanya, Omar Hassan, parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah itu cuba menjejaskan kedudukan PAS di kalangan pengundi Melayu-Islam di kawasan berkenaan menjelang PRU-14.

Malah beliau juga mendakwa bahawa PKR tidak menghormati PAS sebagai rakan kerjasama kerana bekerjasama dengan DAP dan PAN untuk menyerang PAS.

Omar berkata, PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli PAS untuk kepentingan politik PKR tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan PAS.

Selain itu, beliau mendakwa yang lebih memudaratkan, apabila ahli PAS mengadu PKR meminta mereka keluar parti bagi tujuan memegang jawatan tertentu dalam kerajaan negeri Pakatan Harapan.

“Sifat tidak bertanggungjawab oleh PKR ini menunjukkan PKR sangat tidak menghormati prinsip setiakawan dan boleh menjejaskan PAS,” katanya.

Dalam pada itu, Omar juga mendakwa PKR gagal mempertahankan Islam di Pulau Pinang dan mendakwa parti itu menurut kehendak DAP mencampuri urusan penfatwaan.

“Terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan/ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui exco agama,” katanya.

Pada 31 Januari, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof mendakwa kerajaan negeri mengarahkan semua fatwa melalui majlis mesyuarat kerajaan negeri sebelum ia diluluskan sebagai undang-undang.

Sementara itu, mesyuarat Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat hujung minggu lalu meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi dan ambil semula kerusi yang “dipinjamkan” kepada PKR.

Ini kerana menurut perwakilan Cabang Empat Kedai, Ahmad Fadli Abu Bakar, langkah itu perlu dilakukan memandangkan PKR yang mengaku mempunyai tahaluf siyasi dengan PAS, namun dalam masa sama mengekalkan kerjasama dengan musuh parti itu iaitu DAP dan PAN.

Malah Ahmad Fadli berkata, PKR juga menunjukkan sifat biadapnya apabila menerima keahlian Ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaffar yang menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun, menjelang muktamar bulan depan adalah dijangka lebih banyak kawasan PAS akan membawa usul yang sama sekaligus mencorakkan persaingan tiga segi dalam PRU ke-14.

Ini kerana PAS sudah lama bersedia bergerak sendirian, sedangkan PH masih terkial-kial mencari titik persefahaman jitu. Lebih-lebih lagi penyertaan PPBM dalam pakatan itu dijangka mengubah perimbangan pengaruh di kalangan mereka.

Soal pengagihan kerusi yang bakal ditandingi anggota Pakatan Harapan masih jauh daripada selesai dan penyertaan bekas Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam politik PH dijangka mengkocakkan pakatan itu.

Sama ada isu kepentingan PKR, DAP, PPBM dan PAN dapat diselesaikan dengan pantas masih sukar diperkirakan, meskipun bekas peneraju Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ia segera dimuktamadkan.

Anwar dikatakan mungkin bimbang jika isu itu itu lengah ditangani, sudah tentu bekas sifu politiknya itu akan mempunyai banyak masa mencatur gerak untuk menguasai PH.

Jika Mahathir berjaya, sudah tentu ia akan melupuskan impian Anwar untuk segera dibebaskan kerana kembalinya beliau dalam persada politik Malaysia sudah pasti menjadi “gangguan utama” politik yang mahu diambil Mahathir.

Sama ada PH cepat berhasil mencari titik persefahaman atau tidak, yang pasti baik Mahathir mahupun Anwar sudah cukup ghairah untuk bersaing kembali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *