Mayat hilang ditemui terapung 50 kilometer dari tempat kejadian

KAPIT: Mayat seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang apabila bot dinaikinya karam selepas terlanggar sebuah kapal tongkang di jeti Pasar Baru Kapit, ditemui terapung di Sungai Rejang berdekatan Nanga Temalat, Song, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Erwandy Tugor, berkata lokasi mayat Maxmecluess Kalat Tommy, 19, ditemui terletak kira-kira 50 kilometer dari tempat kejadian, Jumaat lalu.

Beliau berkata, mayat mangsa disedari oleh seorang penumpang bot ekspres yang dalam perjalanan dari Kapit dari Sibu pada jam 9.45 pagi semalam.

“Penumpang yang melihat mayat terapung di kawasan Nanga Iran di Song itu terus menghubungi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan pihak kami terus menumpukan pencarian ke kawasan tersebut.

“Bertindak atas maklumat itu, pihak kami meneruskan pencarian ke kawasan hilir Sungai Rejang dan akhirnya berjaya menemui mayat mangsa pada jam 1:36 tengahari tadi.” Katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Erwandy berkata, identiti sudah dikenal pasti dan disahkan oleh keluarganya yang turut bersama menyertai operasi SAR dan kini mayat dihantar ke Hospital Kapit untuk dibedah siasat.

Dalam kejadian malam Jumaat lalu, mangsa dan seorang rakannya Jeffery Jamin, 17, menaiki sebuah perahu untuk menyeberangi Sungai Rejang, namun ketika berada di tengah sungai enjin bot tiba-tiba mengalami kerosakan.

Arus deras sungai menghanyutkan perahu ke hilir sebelum terlanggar sebuah tongkang yang berlabuh di jeti Pasar Baru Kapit. Jeffrey sempat menyelamatkan diri sebelum perahu mereka terperosok di bawah tongkang berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *