Menteri Pendidikan nasihatkan guru pembangkang letak jawatan

PETALING JAYA: Menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menasihatkan guru yang menyokong pembangkang dan menghentam kerajaan secara keterlaluan agar meninggalkan profesion mereka.

Menurut beliau, tindakan itu wajar kerana perbuatan menghentam kerajaan melanggar peraturan perkhidmatan awam.

Katanya, biarpun Malaysia negara demokrasi dan menjadi hak mereka untuk menyokong mana-mana parti politik, guru tetap terikat dengan peraturan dalam perkhidmatan awam.

“Jika mereka seorang guru, tetapi sudah naik pentas pembangkang, bersyarah dan hentam kerajaan, ada pula elemen tidak sihat dibangkitkan dan wujud unsur fitnah, saya ingatkan lebih baik tinggalkan profesion itu dan lawanlah (bertanding) betul-betul.”

Laporan BH Online memetik beliau berkata, “bagi saya budaya ini tidak begitu sihat.”

“Bukan kita hendak tutup demokrasi itu, tetapi tidak patutlah sampai ke situ,” kata beliau pada sidang media selepas Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu hari ini.

Mahdzir juga berkata, walaupun isu guru menyokong pembangkang dan menghentam kerajaan adalah kes terpencil, terdapat satu kes guru diambil tindakan kerana menghentam kerajaan secara keterlaluan di pentas politik pembangkang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *