Mizz Nina mahu guna media sosial untuk berdakwa kepada peminat

Memilih untuk berundur dari dunia hiburan namun aura seni yang mengalir dalam diri Mizz Nina tidak pernah padam.

Sekalipun sudah berhijrah, selebriti berusia 37 tahun ini terus mencari peluang memperkukuhkan jenamanya.

Tidak hanya giat menghasilkan bait-bait puisi, Mizz Nina turut aktif dalam bidang fesyen selain memberi fokus kepada penerbitan program kerohanian menerusi syarikatnya, DopsTV.

Isteri komposer dan penyanyi, Noh Salleh ini juga tampil sebagai pengacara dalam pelbagai program Islamik

“Saya rasa inilah kehidupan saya. Semuanya adalah rancangan ALLAH SWT dan saya hanya go with the flow.

“Mungkin inilah hala tuju saya, jadi saya tak seharusnya berhenti sebaliknya teruskan dan cuba jadi yang lebih baik,” katanya pada Media Hiburan.

Bukan itu saja, Mizz Nina bersikap terbuka apabila video muzik dan lagu-lagu lamanya masih ditonton di laman sosial YouTube malah berpendapat cara itu mendekatkannya dengan peminat.

“Lagipun, saya tak boleh menghalang mereka untuk terus menonton atau berkongsi di laman sosial,” katanya.

Jelasnya, situasi itu membantunya untuk terus positif sekali gus membentuk peribadinya hari ini.

“Sebenarnya, ia satu perkara yang baik. Dan…itulah hidup saya. Saya tak pernah menyesal dengan kehidupan lalu,” katanya.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Shazrina Azman ini menjadikan laman sosialnya sebagai platform menyampaikan dakwah dan mengambil peluang menjadikan medium itu menarik lebih ramai lagi pengikutnya yang mahu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Sebagai usaha berubah ke jalan yang lebih baik, Mizz Nina menjelaskan tiada istilah terlambat untuk mengenal ALLAH dan memulakan perkara baru yang akan memberi manfaat.

“Bahkan, saya sendiri belajar Alif Ba Ta dan al-Quran pada usia 30 tahun. Alhamdulillah, semuanya bertambah baik sekarang.

“Apa yang penting, jangan malu dan berputus asa serta ada rasa terlambat untuk memulakan sesuatu,” katanya.

Mizz Nina bakal muncul dalam sebuah program bual bicara gaya hidup Islamik, The Mizz Nina Show yang akan bersiaran di Astro Ramadan nanti.

“Insya-ALLAH, program 10 episod ini akan menjemput dan menemu bual inspiring people seluruh dunia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *