Muhyiddin terbukti ahli politik talam dua muka

Tindakan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan sokongan pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 dibawa PAS serta pada masa sama menjalin hubungan mesra dengan Pakatan Harapan dilihat seperti talam dua muka.

Ini adalah berikutan tentangan hebat oleh pimpinan Pakatan Harapan terutama DAP yang dilihat terlalu ekstrim untuk menolak pindaan RUU terbabit sehingga mendesak pemimpin kanan BN bukan Islam menolak usul dibahas di parlimen.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Salawati Mat Basir berkata strategi Muhyiddin itu adalah tindakan selamat daripada dikecam oleh Melayu Islam dan dalam masa yang sama tidak mahu memutuskan hubungan dengan DAP serta Pakatan Harapan.

“Muhyiddin tak boleh kata dia tolak RUU sebab kalau tidak dia berada dalam keadaan yang lebih bahaya, lagipun dia adalah orang Islam.

“Tapi apabila melibatkan kerjasama dalam politik ni, Muhyiddin mungkin kata yang itu adalah pandangan peribadi dia, bukan mewakili parti,” katanya pada Ahad kepada BNBBC.my portal.

Tambah Salawati (gambar), Muhyddin melakukan hal sedemikian, semata-mata untuk mendapatkan sokongan kedua-dua pihak.

“Jadi dia mahu selamat dengan bagi sokongan kepada RUU dan hubungan dengan DAP pun terjaga,” katanya.

Sebelum itu Timbalan presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan bahawa Muhyiddin sudah berikrar untuk menyokong pindaan RUU 355 di parlimen.

Usul pindaan itu dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada sesi Dewan Rakyat terdahulu, akan melalui proses perbahasan dan pengundian pada sesi sidang kali ini.

Antara pindaan adalah hukuman maksimum Mahkamah Syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebatan 100 kali.

Sementara itu, Salawati juga melihat langkah Muhyiddin bakal mencetuskan krisis antara parti itu dengan Pakatan Harapan menjelang PRU-14.

“Jika benar Muhyiddin menyatakan perkara itu mewakili partinya, sudah pasti ia akan merenggangkan hubungan dengan DAP, sebab DAP kita kenal sejak dulu lagi apa sahaja yang berkaitan dengan agama Islam, mereka akan lantang bersuara untuk menolak.

“Pada masa yang sama ia akan menimbulkan kesulitan kepada PKR dan PAN pula, memang ia berkait rapat dengan parti lain seperti apa yang terjadi kepada PAS semasa berada dalam Pakatan Rakyat dulu,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *