Nelayan Tidak Pernah Setuju Dengan Projek Tambakan Laut

16/03/17 – Adun Batu Maung, Datuk Abdul Malik Kassim sebelum ini menipu berhubung dakwaan kononnya majoriti nelayan di kawasan Permatang Damar Laut menyokong penuh projek tambakan laut yang dilaksanakan di kawasan tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, sebelum ini ketika menemui para nelayan kawasan tersebut, mereka menegaskan bahawa langsung tidak pernah menyatakan sebarang sokongan terhadap projek penambakan laut itu.

Bukan sahaja tidak pernah menyokong malahan komuniti nelayan kawasan tersebut telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap projek tambakan laut yang secara jelas telah merampas punca rezeki dan pendapatan mereka.

Menurut Mohamed, pada Ahad yang lalu, sekumpulan nelayan telah membuat bantahan dan menunjukkan rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap projek yang telah memusnahkan ekosistem dan habitat laut di kawasan itu.

Selain itu, CAP turut menerima pelbagai aduan berhubung pencemaran sisa lumpur yang dihadapi nelayan di Permatang Damar Laut. Namun begitu, sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri.

Bukan sahaja para nelayan menghadapi masalah kemerosotan hasil tangkapan akibat kesan projek penambakan laut. Malah mereka juga terpaksa pergi jauh ke laut bagi mencari hasil tangkapan yang lebih lumayan. Pastinya usaha tersebut akan memakan lebih banyak modal dan masa.

CAP percaya bahawa masalah yang dihadapi nelayan di Pulau Pinang kini berpunca daripada kegiatan penambakan laut, pemusnahan hutan paya bakau, pencemaran dari kilang dan kolam ternakan udang serta sisa lumpur dari tapak projek pembangunan.

Walau bagaimanapun, aduan yang dibuat kepada kerajaan negeri umpama mencurahkan air ke daun keladi. Langsung tiada sebarang tindakan yang diambil, malah DAP Pulau Pinang hanya pekakkan telinga dan butakan mata berhubung derita yang dihadapi rakyat mereka. – TiraGomez/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *