OKU tabah jana hidup ber’busking’ dengan pendapatan RM80 sehari

Hidup dan mencari sesuap nasi di ibu kota buat masa ini penuh dengan cabaran yang melahirkan keluhan dari setiap warganya.

Keluhan yang lahir dari bibir-bibir setiap penghuninya adalah mengenai kepayahan menanggung hidup saban hari akibat kos sara hidup yang meningkat dengan konsisten.

Dengan jumlah pendapatan hampir RM5000 sebulan pun kita masih boleh mendengar rintihan ramai yang mengeluh makan minum sekeluarga tidak mencukupi dan itu perkara biasa yang kita lalui.

Namun berbeza dengan Rodi Jainal yang mencari rezeki untuk tiga orang anak dan isterinya dengan hanya menyanyi atau ‘busking’ di hadapan bagunan Pertama Kompleks sejak 15 tahun yang lalu.

Walaupun hanya mampu meraih tidak lebih dari RM80 setiap hari dengan jumlah kurang RM2500 sebulan, termasuk sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun Rodi tetap merasakan rezekinya sentiasa cukup dan memadai untuk keluarganya meniti hari-hari dengan hidup yang cukup sederhana.

“Setakat ini alhamdulillah cukup untuk satu keluarga kami, pasal saya dapat bantuan lagi daripada Badan Kebajikan RM350 setiap bulan,” katanya kepada Berita Daily.

Rodi yang dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kerana cacat penghilatan tinggal di flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bangsar dengan kadar sewa RM124 sebulan.

Perjalanannya untuk mencari rezeki setiap hari akan menelan kos tambang RM12 sehala dengan menaiki teksi.

Oleh kerana perjalanannya ke Pertama Kompleks sudah melebihi kos perbelanjaannya setiap hari justeru Rodi yang ditemani isterinya setiap hari untuk ‘busking’ terpaksa mengikat perut dan hanya akan makan ketika di rumah sahaja.

“Ketika mencari rezeki saya memang tidak makan, saya cuma minum air, saya persiapkan makan awal-awal di rumah, makan di luar pun mahal,” tambahnya.

Anak jati Sabah itu berkata, ketidaktentuan ekonomi memaksanya menjadi ketua keluarga yang bijak menguruskan kewangan agar tidak berlaku kesempitan wang.

Mempunyai anak-anak yang sedang bersekolah, Rodi berkata perbelanjaannya setiap hari sudah tentu tidak akan dapat disamakannya dengan orang lain namun beliau menerima kehidupan dengan seadanya.

“Rodi Busking IIKalau diikutkan di KL ini pendapatan saya memang tidak cukup, jadi kewangan kita kena pandai kita urus, perbelanjaan kita seharian juga kita kena kawal,” katanya lagi.

Bukan itu sahaja lebih membanggakan, Rodi boleh dianggap sebagai pengurus kewangan yang terbaik kerana sudah mempunyai simpanan yang cukup untuk menampung perbelanjaan masa depan anak-anaknya khususnya untuk tujuan melanjutkan pelajaran.

Ini kerana semenjak memulakan kerja sebagai penyanyi jalanan, beliau akan memastikan lebih kurang RM500 daripada pendapatan yang diraih setiap bulan akan disimpan khas untuk anak-anaknya.

“Perancangan untuk anak-anak alhamdulillah semua sudah saya sediakan cuma sekarang ini cari untuk kehidupan seharian kami,” tambah Rodi.

Mengakui bahawa mencari rezeki dengan cara ini memaksanya berhadapan dengan pelbagai cabaran dari aspek keselamatan mahupun persaingan, namun Rodi percaya dengan mata pencarian yang dilakukannya setelah bertahun-tahun, ini akan sentiasa membantunya sekeluarga.

“Dulu saya pernah membawa seorang, tabung saya dibawa lari orang jadi itulah saya membawa isteri untuk menemani saya. Pernah juga sebelum ini, mula-mula saya busking di tangga kompleks ini kemudian saya dihalau oleh pihak pengurusan. Saya tidak dibenarkan di situ.

“Mencari rezeki seperti ini buat masa sekarang agak susah sebab ekonomi pun mungkin tidak stabil, busking pun sudah terlalu ramai yang buat sekarang, saingan itu tinggi juga. Tapi saya selesa di sini dan meneruskan mencari rezeki di sini,” kata beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *