PAN akan berdepan laluan sukar untuk dapat kerusi di Kelantan.

01/03/2017- Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyifatkan azam Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menawan Kelantan menjelang pilihan raya umum akan datang hanyalah angan-angan politik.

Ini kerana kata beliau, tidak mudah bagi Amanah yang disifatkan hanya ‘setahun jagung’ bertapak dalam arena politik untuk merampas Kelantan daripada PAS.

“Saya sifatkan ia hanya angan-angan politik Amanah. Amanah perlu tahu, untuk memenangi PRU, sesebuah parti itu perlu ada kekuatan asas terlebih dahulu,” katanya.

Nasrudin berkata kekuatan asas yang perlu ada termasuk cawangan, ahli dan pengundi, bukannya sekadar ada parti kemudian buat gempak pada satu atau dua program dan seterusnya buat kenyataan akan menang di Kelantan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub mengeluarkan kenyataan di mana beliau yakin Amanah boleh mengambil alih Kelantan daripada PAS dan memerintah negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Salahuddin berkata, ia boleh berlaku memandangkan PAS kini mengalami perpecahan dalam, sekali gus boleh menyebabkan sokongan terhadap parti menyusut.

Tambah Nasrudin lagi, bukan mudah bagi parti lain untuk menakluk dan menduduki Kelantan.

“Kami yang daripada parti-parti lama termasuk Umno pun tahu nak menang sesebuah negeri bukan mudah. Secara asasnya dari awal lagi PAS akan pertahankan Kelantan dari mana-mana pihak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *