PAN Mahu Hapuskan Undi Pos Di PRU14

20/03/2017 – Parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN) saban hari dilihat cuba menunjukkan parti itu sebuah parti yang kuat dan segala tindakan serta kata-kata mereka adalah munasabah dan benar.

Ini dapat dilihat apabila parti serpihan PAS itu mahu menghapuskan undi pos di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang tak lama lagi.

Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hassan cuba menegaskan bahawa golongan tentera perlu dibenarkan mengundi sama seperti orang awam kerana beliau mendakwa proses undi pos pada pilihan raya sebelum ini terdedah kepada kemungkinan pelbagai bentuk manipulasi.

Menurut Aminolhuda, sistem undi pos tidak lagi relevan pada masa ini kerana tentera boleh membuang undi di pusat daerah mengundi yang terletak berhampiran kem masing-masing.

“Undi pos bagi kami (Pakatan Harapan) tidak lagi munasabah kecuali pada anggota tentera yang bertugas di perbatasan.

“Yang kita bimbangkan sekarang ini, undi pos dibuat beberapa hari (sebelum pengundian biasa) kemudian disimpan.

“Kita tidak tahu apa berlaku. Peluang untuk dimanipulasi seperti ditukar, diletak di mana boleh bila-bila berlaku,” dakwanya pada satu forum anjuran PAN Johor, baru-baru ini.

Malah, Aminolhuda juga mendakwa pengundi pos dikatakan memberi jaminan kepada kemenangan Barisan Nasional (BN).

Selain itu, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani di Muar itu juga mendakwa pengundian awal terdedah kepada penipuan kononnya seperti pengalamannya menjadi calon bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Dalam satu daerah mengundi (pada PRU13), ada guru bertugas beritahu saya secara bertulis yang dia mahu pergi undi awal tetapi tiba-tiba didapatinya (kertas undi) sudah dipangkahkan.

“Pengundian awal dipangkah oleh ‘bos’ (ketua jabatan). Tidak berlaku ketelusan dalam pengundi awal kecuali untuk anggota polis dan pembantu-pembantu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang bertugas,” dakwanya.

Sehubungan itu, Aminolhuda cuba menyeru supaya rakyat termasuk tentera, polis dan petugas SPR tidak dikongkong untuk mengundi pihak mana pada pilihan raya.

“Undi pos dan undian awal, dua-dua boleh dimanipulasi. Berilah kebebasan kepada rakyat untuk memilih,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *