PAN pergunakan nama Allahyarham Nik Aziz untuk cari sokongan politik di Kelantan.

Parti Amanah Negara (PAN) bakal menganjurkan Seminar Pemikiran Tuan Guru Datuk Nik Aziz di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 9 April ini.

Setiausaha Agung PAN, Mohd. Anuar Tahir berkata, Allahyarham Nik Aziz merupakan Mursyidul Am Pas dan bekas Menteri Besar Kelantan di bawah kerajaan Pas itu dianggap sebagai ulama dan pemimpin hebat.

“Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja ulama terulung tetapi juga seorang pentadbir yang cemerlang. Kejayaan beliau mentadbir Kelantan dengan slogan Membangun Bersama Islam lebih dua dekad, tentunya satu kejayaan yang amat dikagumi.

“Bukanlah mudah kerana terpaksa berhadapan dengan tekanan segenap sudut terutama oleh kerajaan Persekutuan sendiri.

“Keterampilan beliau yang serba sederhana, mesra rakyat, sentiasa berada ditengah-tengah rakyat, merasai denyut jantung rakyat, menyebabkan beliau amat dihormati kawan dan disegani pihak lawan.

“Kesungguhan beliau mentadbir khazanah negeri terutamanya mendidik pegawai-pegawai negeri berjimat cermat, mencegah pemborosan memanglah kejayaan yang patut diteladani,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, timbul persoalan kenapa PAN ‘lebih sudu daripada kuah’ berbanding Pas yang sepatutnya lebih berhak membawa imej Nik Aziz kerana allahyarham merupakan pemimpin parti itu sepanjang hayatnya.

Sebelum ini, Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa dilihat sering ‘menjaja’ nama Nik Aziz yang didakwa akan menyertai PAN sekiranya masih hidup kerana Pas sudah tidak selari dengan cara perjuangan sebenar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Anuar, PAN mengakui pendekatan yang dibawa oleh Nik Aziz amat bersesuaian dengan kemajmukan masyarakat dan sering menganjurkan pertemuan-pertemuan dengan pemimin pelbagai agama bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan pemimpin-pemimpin agama.

Seminar berkenaan akan dirasmikan Presiden PAN, Mohamad Sabu sementara Husam akan diberikan penghormatan bagi menyampaikan ucaptama dalam seminar berkenaan.

Apa yang dibimbangi seminar itu terus dijadikan platform politik PAN ‘menyerang’ Pas dan kerajaan negeri Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *