PAN Semakin Resah Bila PAS Bertambah Kuat

20/03/2017 – Berhubung mengenai sasaran Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ingin menawan 5 negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah menyatakan bahawa beliau kononnya tidak terkejut dengan sasaran Presiden PAS itu.

Ini kerana menurut beliau, hasrat Hadi pernah didengar selepas PRU13 tetapi ketika itu hanya mensasarkan 4 negeri.

“Kenyataan itu telah dibuat hanya beberapa minggu selepas PRU13. Saya mendengar dengan telinga saya sendiri. Dari 4 buah negeri dan sekarang jadi 5 negeri.

“Jadi saya tidak hairan mendengar bahawa sasaran PAS itu,” katanya yang pernah menjadi ahli PAS sebelum menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut Raja Bahrin, 4 negeri yang menjadi sasaran Hadi selepas PRU13 itu ialah Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Bagaimanapun, Hadi semalam menyangkal berita yang tular di media sosial yang melaporkan beliau mahu PAS menguasai negeri tertentu pada PRU14 dan selebihnya diberikan kepada UMNO.

Ini kerana kata Hadi, PAS ketika ini menyasarkan 40 kerusi Parlimen.

Namun, Raja bahrin menyifatkan jika video yang sedang tular di media sosial itu tepat, maka ia membuktikan wujudnya hubungan politik antara PAS dan UMNO.

Justeru, beliau menggesa Presiden PAS itu seharusnya berlaku jujur supaya penyokong PAS tidak akan keliru.

“Dia (Hadi) seharusnya jujur dan jadi penyokong PAS tidak akan keliru.

“Adakah PAS dan UMNO akan bekerjasama atau mereka hanya menjadi rakan? Namun UMNO, nampaknya mencuba jadi lebih Islam manakala PAS pula mahu menjadi lebih Melayu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut ditanyakan mengenai perkara itu berkata, tidak pasti sama ada Hadi membuat kenyataan seperti itu.

Saifuddin berkata jika betul Hadi mengatakan demikian, beliau perlu berterima kasih kepada Hadi kerana menjelaskan bagaimana kedudukan PAS pada pilihan raya umum nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *