PAS akan tetap menasihati UMNO demi kebaikan rakyat.. – Nik Abduh

UMNO sekarang sedang sakit dan memerlukan bantuan serta ubat, manakala PAS pula mempunyai penawar. Sebab itu UMNO datang kepada PAS, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Aziz.

“UMNO datang kepada PAS kerana UMNO telah lama tahu bahawa PAS ada ubat dan penawar. UMNO tidak pergi kepada PAN dan yang lain kerana mereka tiada ubat. PAN itu sendiri adalah penyakit, bukan ubat. Orang sakit tak akan minta bantuan daripada orang sakit juga.

“UMNO dan PAS berbalah sejak lama. Dari anak beranak di dalam rumah sehinggalah sepupu sepapai di parlimen. PAS mana tak kenal UMNO dan UMNO mana tak kenal PAS. Keajaiban di sebalik perbalahan ialah saling mengenal kelebihan dan kekurangan musuh masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Oleh itu, Nik Abduh berkata, PAS sekarang ini tidak perlu garang dan lantang menentang atau mengutuk UMNO kerana rakyat sudah tahu kejahatan dan keburukan UMNO.

“Kita dekat dengan UMNO hari ini kerana dulu UMNO jauh dari PAS. Orang berkuasa dan kaya biasalah sombong dan enggan menyapa apatah mendengar daripada orang miskin. PAS dulu lemah dan miskin. Kini tidak lagi. Ada kuasa dan kaya sokongan. Adakah apabila UMNO datang kepada PAS, PAS kena lari?”

“Masanya PAS bercakap kepada UMNO secara berdepan, bukan lagi melaung dari jauh dan kejauhan. Jauh kita memanggil dan memekik. Dekat kita bercakap dan berbual bukan? Beri jawaban, mengapa UMNO datang kepada PAS? Beri jawaban, mengapa UMNO tidak pergi kepada PAN atau PKR atau parti-parti lain yang sedang beraksi hari ini?.

“UMNO tahu dia sakit. Rakyat tahu UMNO sakit. PAS lagi tahu. UMNO datang mencari bomoh baru. Dulu UMNO suka berjampi dengan bomoh-bomoh memuja jin dengan asap dan kemenyan. Sampai bersepah tulang temulang dikerat bomoh. Itu cerita lama UMNO. Rasanya dah berakhir dah zaman kebodohan terlajak itu,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, PAS sekarang ini melakukan dua perkara iaitu pertama menasihati UMNO supaya berubah serta memilih Islam sebagai ubat kerana yang akan menghukum parti itu adalah rakyat, bukannya PAS.

“Kedua, membina alternatif dan penyelesaian kepada rakyat. PAS tidak perlu melaung kepada rakyat. Rakyat sudah bersedia mendengar daripada PAS. PAS dalam ceramah, dialog, wacana, pertemuan dan pelbagai medium lagi untuk mendekati rakyat datang menerangkan penyelesaian Islam bagi membina negara berjaya dan sejahtera,” katanya.

“PAS mendekati rakyat dengan budaya politik matang dan sejahtera yang menawarkan sebuah kerajaan teknokrat yang sifatnya menginklusifkan pembinaan negara melalui gandingan kepakaran semua pihak dan rakyat yang bersama menjunjung kedaulatan negara. Ia bukan membolot kekuasaan buat kelompok sendiri seperti amalan BN selama ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *