PAS Jangan Mimpi Nak Dapat Kedah

KUALA LUMPUR – PKR yakin adalah mustahil UMNO ‘menyerahkan’ Kedah kepada PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, walaupun hubungan kedua-dua parti itu dikatakan semakin erat.

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, UMNO-Barisan Nasional (BN) akan bermati-matian untuk mempertahankan negeri itu selepas mereka pernah kalah pada pilihan raya 2008.

“Apabila UMNO berkuasa di mana-mana negeri, walaupun mereka hilang di Kedah pada 2008 selepas Pakatan Rakyat (PR) ambil alih, UMNO berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan mereka kembali memerintah pada PRU13 dan hasilnya mereka menang.

“Jadi tak mungkin, malah mustahil bagi UMNO-BN untuk berbuat rundingan begitu. Tak boleh bahagi-bahagi negeri begitu sahaja,” katanya kepada Antarapos.

Respon itu menyusul selepas timbul desas-desus kononnya UMNO bersetuju untuk menyerahkan Kedah kepada PAS menerusi persetujuan bersama mereka.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didakwa berkata demikian, selain kerjasama antara partinya dan UMNO adalah mengikut pembahagian kerusi, dimana persetujuan kedua-dua belah pihak sudah dicapai.

Memetik dakwaan berkenaan menerusi laman sesawang mukhrizmahathirfc, dalam rakaman ucapan Hadi pada sebuah program, beliau juga dipetik sebagai berkata PAS akan memimpin Kedah, Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor.

Ujarnya lagi adalah penting bagi PAS mengadakan kerjasama dengan UMNO untuk mengekalkan kuasa politik Islam, seiring dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dibawa mereka.

Diminta mengulas perkembangan itu, Johari yang juga Ketua Whip PKR menegaskan situasi itu sukar berlaku memandangkan kedua-dua parti tersebut mempunyai latar yang berbeza.

“Sebagai pemimpin di Kedah, saya anggap ia tak semudah itu. Kena ingat, UMNO mempunyai pemikiran yang tersendiri, begitu juga dengan PAS. Pertembungan antara PAS dan UMNO bukan baru. Semenjak PAS wujud itulah pertembungan atau musuh tradisi mereka.

“Di dalam PRU12 dengan kehadiran PKR, barulah PAS mempunyai peluang memerintah bersama dengan parti-parti lain dalam PR untuk memerintah kedah.

“Bermakna, jika tanpa parti komponen saya anggap ia agak sukar, bukan sahaja dari segi perkiraan politik, namun kena ingat mahu atau tidak komposisi kaum memainkan peranan dalam politik Malaysia,” tegasnya lagi. – ap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *