PDRM akan berkerjasama dengan Tentera Darat benteras Pengganas Daesh

KUALA LUMPUR: Tentera Darat turut terbabit dalam usaha membanteras kegiatan pengganas Daish di negara ini walaupun tidak secara langsung, kata Panglima Medan Barat Tentera Darat Left Jen Datuk Azizan Md Delin di sini hari ini.

Beliau berkata Tentera Darat di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) memang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung langkah memerangi kegiatan Daesh.

PDRM memainkan peranan yang cukup baik memerangi kegiatan pengganas Daish setakat ini, dan Tentera Darat sebagai pembantu kepada usaha PDRM itu, katanya.

“Kita kena faham (bahawa) perkara berlaku dalam negeri, keselamatan orang awam adalah tanggungjawab dan tugas polis…

“Kita (tentera darat) memang ada memainkan peranan (perangi Daish)…jaga sempadan, (penyeludupan) senjata tak masuk, pengganas tak masuk,” katanya dalam wawancara bersama Bernama dan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini hari ini.

Azizan berkata melalui peranan itu mereka berkongsi maklumat dan hasilnya, negara tidak memerlukan pasukan besar untuk mengawal keadaan kerana polis sudah cukup mampu.

Dalam pada itu, Azizan berkata golongan yang rendah tahap pendidikan dan banyak terdedah dengan propaganda Daesh dalam media sosial mememang mudah terpengaruh untuk menyertai aktiviti pengganas itu.

“Kita tengok pejuang-pejuang seperti Daish ini yang dari Malaysia, kebanyakan mereka direkrut melalui media sosial,” katanya.

Beliau turut mengakui penyebaran idealogi daripada pengganas luar melalui media maya merupakan cabaran baharu kepada Tentera Darat dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Dalam perkembangan terkini, tujuh orang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh dalam operasi khas sejak Rabu lepas hingga semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata operasi yang dijalankan di Sabah dan Selangor oleh bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Bukit Aman itu membawa kepada tertangkapnya tujuh individu yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *