PDRM sahkan ada orang penting terlibat kes pembunuhan Kim Jong-nam

MELAKA: Terdapat beberapa lagi suspek lain termasuk orang penting yang dikehendaki berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bagaimanapun, enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai kewarganegaraan, bilangan dan lokasi suspek berada.

“Ada beberapa orang media bertanya saya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), ada sasaran atau orang baharu (suspek) nak ditangkap. Saya tidak nafikan ada lagi suspek baharu dalam pembunuhan Kim Jong Nam. Berapa ramai suspek, berada di mana, saya tidak mahu sebut. Namun kita percaya ada juga orang penting.

“Bagaimanapun, kita (PDRM) perlu dapatkan dulu empat suspek dipercayai berada di Pyongyang yang kita peroleh notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menahan mereka.

“Jadi, saya menyeru kepada penguat kuasa di Korea Utara supaya membantu kita menjalankan siasatan. Ini adalah kes jenayah, saya tidak mahu campur hal politik. Ia berlaku di kawasan kami, jadi adalah tanggungjawab kami jalankan siasatan telus mengikut undang-undang Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Sang Saka Biru dan pra-pelancaran Kempen Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sempena Hari Polis ke-210, di Menara Taming Sari, di sini hari ini.

Jong-nam yang juga abang pemimpin tertinggi Korea, Kim Jong-un, meninggal dunia pada 13 Februari lalu ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas diserang dua wanita menggunakan agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu sementara menunggu penerbangan ke Macau.

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung tindakan Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin ‘memagar’ Malaysia daripada ancaman negara asing khususnya Korea Utara, Khalid berkata pihaknya akan memanggil Ibrahim mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kita tahu mana nak cari dia. Saya menyeru kepada dia, cukuplah melakukan perbuatan mengarut yang memalukan kita sebagai orang Melayu, jadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *