Pelarian Rohingya di Bangladesh mula balik semula ke Myanmar.

DHAKA: Ribuan penduduk Rohingya yang berlindung di Bangladesh selepas melarikan diri daripada keganasan di Myanmar, kembali ke rumah masing-masing.

Ia berikutan rancangan negara itu untuk menempatkan mereka di pulau tidak berpenghuni yang kerap dilanda banjir.

Hampir 73,000 pelarian Rohingya memasuki Bangladesh sejak Oktober lalu, apabila tentera kerajaan Myanmar melancarkan keganasan ke atas minoriti Islam.

Ramai menceritakan kisah ngeri kampung mereka dibakar dan wanita dirogol beramai-ramai.

Kebanyakannya menuju ke kem pelarian yang penuh sesak di Cox’s Bazar, daerah tarikan pelancong utama Bangladesh yang bersempadan dengan Myanmar.

Kebanjiran itu memaksa Dhaka menimbulkan semula rancangan kontroversi untuk menempatkan pelarian di pulau yang tidak dibangunkan di Teluk Benggala itu.

Pemimpin komuniti Rohingya memberitahu, lebih 5,000 etnik itu kembali ke Myanmar walaupun berhadapan risiko ditindas.

“Mereka memilih untuk mati ditembak berbanding terbunuh disebabkan bencana alam.

“Ramai bimbang selepas mengetahui mengenai pelan penempatan semula itu. Kami dengar pulau itu kerap dilanda banjir. Kini kami cuma berharap keadaan di Myanmar semakin baik,” kata pemimpin komuniti itu, Noor Hafiz.

Hafiz berkata, 3,000 etnik Rohingya sudah meninggalkan kem berkenaan, manakala 2,000 lagi meninggalkan dua kem pelarian sementara yang baru dibina. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *