Pengalaman Duduk Serumah Dengan Gadis Bujang Yang Pengotor

21/03/2017 – Wanita -wanita yang masih lagi bujang dan tidak berkahwin memang tidak dapat lari dari hidup menyewa dengan rakan serumah yang lain. Tapi, hidup menyewa ini pun kena ada adab dengan rakan serumah.

Duduk rumah sewa bujang ni bukan bermakna boleh buat sesuka hati. Kita semua bayar sewa sama-sama. Rakan rumah sewa bukan orang gaji yang nak kena buang sampah, cuci pinggan mangkuk, dan basuh baju.

Duduk rumah sewa bujang kena ada ‘common sense’ dan kesedaran diri yang tinggi. Kena ada sikap toleransi, hormat-menghormati.

Seorang wanita telah berkongsikan pengalaman tinggal menyewa dengan gadis-gadis bujang yang pemalas dan pengotor. Sudah ditegur pelbagai cara, masih tidak sedar diri dan melakukan perkara sama.

Pada awal masuk ke rumah sewa itu memang keadaan agak teruk, tetapi dia dengan dua orang rakan serumah sewa yang lain telah membersihkan rumah itu sehingga kelihatan seperti rumah yang berpenghuni.

Empat bulan selepas itu, masuk dua ahli baru dalam rumah itu dan menjadikan rumah itu seramai lima orang. Pada mulanya dua penyewa baru itu menunjukkan sikap yang rajin dan suka mengemas rumah.

Tetapi, perkara itu tidak bertahan lama hanya sebulan sahaja. Kemudian mula dua penghuni baru ini menunjukkan perangai sebenar. Disebabkan hal itu wanita ini telah menetapkan garis panduan pada semua yang hidup menyewa untuk mereka amalkan supaya tidak membuatkan rakan penyewa rumah yang lain sakit hati dengan sikap pemalas anda.

Pertama, sampah. Ini adalah satu perkara penting yang harus diterapkan dalam diri. Buang sampah yang ada di rumah jika sudah penuh buang sampah di tong sampah besar. Jangan ingat ada rakan serumah lain yang harus membuang sampah anda.

Kedua, sinki dapur. Ekonomi sekarang memang ramai yang akan masak di rumah untuk berjimat. Tetapi, selepas sudah menggunakan sinki tolong buang sisa-sisa makanan ke dalam tong sampah.

Ketiga, pinggan mangkuk. Apabila sudah digunakan tolong basuh. Bukan ada orang gaji dalam rumah sewa yang boleh tolong bersihkan segala sisa pinggan mangkuk yang telah digunakan.

Keempat, bilik air. Ringankan tangan untuk sental bilik air. Sampai dah berkulat, licin dan geli untuk memijak pun masih lagi tidak kisah menggunakan bilik air dalam keadaan kotor? Utamakan kebersihan dalam hidup sejak dari bujang lagi, takkan sudah berkahwin baru mahu ubah.

Kesimpulannya, tolong tanamkan sikap tanggungjawab sikit dalam diri jika tahu diri itu masih lagi menyewa dengan rakan serumah yang ramai. Jangan pentingkan diri sendiri, kalau nak pentingkan diri sendiri tinggal di rumah sewa seorang diri. Tiada siapa yang akan sakit hati dengan sikap pemalas dan pengotor gadis bujang seperti ini. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *