Pengundi Cina Pulau Pinang Akan Tolak DAP Di PRU14 Kerana Kurang Puas Hati

20/03/2017 – Walaupun parti rasis dan cauvinis DAP cuba menunjukkan parti itu sebuah parti yang kuat, namun saban hari parti itu dilihat semakin goyah apabila semakin hilang kepercayaan terutamanya dari masyarakat Cina.

Ini dapat dilihat apabila Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP hanya membantu mereka yang kaya sehingga menyebabkan kemiskinan dalam bandar di Pulau Pinang semakin bertambah.

Ini kerana menurut beliau, jika dilihat keadaan di Pulau Pinang sangat berbeza dari dulu, masyarakat Cina sudah menolak DAP kerana mereka menganggap DAP langsung tidak membantu mereka.

“Mereka hanya membantu orang kaya, pembangunan yang besar dibantu tetapi rakyat biasa mereka tidak bantu,” katanya selepas melancarkan Program Kolaborasi Kesihatan Pergigian dan Badan-badan Agama di Masjid Negara, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cara UMNO mengendalikan isu perkauman yang ditimbulkan DAP di Pulau Pinang.

Tambah beliau yang juga timbalan menteri kesihatan, banyak kilang besar di Pulau Pinang ditutup dan mereka memindahkan operasi ke negara lain.

Hilmi berkata, di Pulau Pinang setakat ini difahamkan ada 6,000 orang yang hilang pekerjaan akibat penutupan kilang yang keluar membawa operasi ke negara lain.

“Dan inilah yang sedang berlaku di Pulau Pinang dan masyarakat Cina sendiri tidak puas hati dengan prestasi kerajaan Pulau Pinang sekarang.

“Memang ada perubahan banyak daripada masyarakat Cina dan mereka tidak yakin dengan kerajaan DAP di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Hilmi turut mengulas mengenai isu Influenza A (H5N1) berkata, sehingga kini tidak ada laporan jangkitan penyakit itu kepada manusia.

Beliau berkata kementerian juga akan sentiasa memantau perkembangan H5N1 kerana bimbang akan berlaku jangkitan kepada manusia.

“Pejabat kesihatan daerah semua turun buat pemeriksaan, kalau ada kes, kita akan buat rawatan yang secukupnya,” katanya yang mengesahkan sehingga kini virus berkenaan hanya berlaku di Kelantan.

Sehubungan itu, Hilmi berkata virus H5N1 juga akan mati jika suhu ayam yang dimasak itu mencecah 70 darjah celsius.

“Dan kita di Malaysia tak makan ayam mentah, cara memasaknya biasa sampai mendidih, jadi ia selamat dimakan,” katanya.