PKR Dakwa Usul Putus Hubungan Oleh PAS Hanya Wayang Politik Menjelang Muktamar

21/03/2017 – Berhubung dengan keputusan PAS Tumpat dan Permatang Pauh yang memutuskan hubungan dengan PKR, Ahli Jawatankuasa Biro Politik PKR Datuk Kamaruddin Jaafar menyifatkan usul PAS yang mahu memutuskan hubungan dengan PKR bukan perkara serius.

Malah beliau menyifatkan ia hanya sekadar krisis dalaman parti Islam itu menjelang pemilihan parti.

“Apa yang kita baca tentang keputusan Pemuda PAS Tumpat dan Permatang Pauh mungkin tidak memeranjatkan. Kita harus faham, tahun ini tahun pemilihan di semua peringkat PAS.

“Keputusan dan usul seperti ini termasuk berkaitan PKR harus dilihat dalam konteks politik dalaman yang rancak berlaku dalam parti.

“Saya yakin selepas proses pemilihan selesai dengan muktamar pada hujung April, maka pimpinan tertinggi PAS akan buat keputusan dan kita semua menunggu keputusan tersebut,” katanya.

Kamaruddin yang juga bekas Setiausaha Agung PAS menganggap parti Islam itu tidak akan membuat sesuatu keputusan yang merugikan pembangkang, termasuk memutuskan hubungan dengan PKR.

“Secara peribadi saya harap keputusan yang PAS akan buat nanti akan menguntungkan pembangkang di atas hasrat bersama, yang saya yakin masih ramai dalam PAS berpegang dengan itu… yang ingin lihat perubahan kerajaan di peringkat negara yang kita akan lakukan dalam PRU,” katanya lagi.

Dua hari lepas, mesyuarat Dewan Pemuda PAS kawasan Tumpat telah sebulat suara meluluskan usul tergempar membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR.

Ini kerana menurut perwakilan Cabang Empat Kedai, Ahmad Fadli Abu Bakar, langkah itu perlu dilakukan memandangkan PKR yang mengaku mempunyai tahaluf siyasi dengan PAS namun dalam masa sama mengekalkan kerjasama dnegan musuh parti itu, iaitu DAP dan PAN.

Malah Ahmad Fadli berkata, PKR juga menunjukkan sifat biadapnya apabila menerima keahlian Ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaffar yang menang atas tiket PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pada 12 September 2015, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menasihatkan Kamaruddin supaya memeriksa status perkahwinannya dengan Mahkamah Syariah Kelantan kerana telah melanggar lafaz bai’ah termasuk menceraikan isterinya apabila keluar PAS dan menyertai PKR.

“Lafaz bai’ah dan perlembagaan parti menetapkan bahawa mana-mana pemimpin yang menyertai parti lain secara automatik gugur keahliannya dan pada masa sama, lafaz cerai seperti dinyatakan dalam sumpah itu terpakai,” kata Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS.

Kedudukan Kamaruddin hampir sama dengan rakannya, Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Parlimen Kuala Krai yang meninggalkan PAS untuk menyertai Parti Amanah Negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *