PKR Yakin Nazri Akan Tumbang Di Padang Rengas

07/03/2017 – PKR Perak menegaskan untuk bertanding di kerusi parlimen Padang Rengas pada pilihan raya umum akan datang ketika penyandangnya, Datuk Seri Nazri Aziz, mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad menentangnya di situ.

Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan membuat cabaran itu selepas dimaklumkan bekas perdana menteri itu akan turun ke Padang Rengas bagi menyertai siri jelajah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hujung bulan ini.

Menurut Ketua Penerangan PKR Perak Siti Aishah Shaik Ismail, parti itu kononnya kini bersedia “menumbangkan” Nazri kerana calon layak yang akan diturunkan pada pilihan raya nanti sudah dipersiapkan.

Malah beliau mendakwa calon terbabit akan menggalas tugas mewakili rakyat yang diabaikan anggota parlimen sedia ada.

“Untuk itu, PKR menasihatkan Nazri berhenti mencari populariti dalam politik dan mempersiapkan parti beliau untuk berdepan dengan PKR yang akan bertanding di situ memandangkan itu adalah kerusi tradisi buat kami,” katanya.

Tambah beliau lagi, wakil PKR kini sedang aktif berkhidmat untuk rakyat di parlimen dan DUN di bawah Padang Rengas ketika tarikh pilihan raya masih belum diketahui.

“Jentera cabang PKR berjaya memasuki dan menghidupkan ranting-ranting di kawasan yang sebahagian besar dulunya adalah penyokog UMNO,” katanya.

Selain itu, Siti Aishah cuba mengingatkan pimpinan Pakatan Harapan Perak agar tidak menari mengikut rentak Nazri yang didakwa gemar menggunakan “politik adu domba” bagi kepentingan politik peribadinya.

“PKR yakin kerusi parlimen Padang Rengas akan berjaya dimiliki pada pilihan raya umum kali ini,” katanya.

Pada 4 Mac lalu, Nazri mencabar Mahathir untuk bertanding di kerusi yang diwakilinya sejak 1995 itu. Susulan itu, Mahathir kemudian mencabar Nazri bertanding di parlimen Langkawi.

Nazri mempertahankan kerusi berkenaan selama lima penggal dengan mengalahkan empat calon PKR dan satu wakil Semangat 46.

Pada pilihan raya umum ke-13 lalu Nazri mengalahkan Meor Ahmad Isharra Ishak dengan majoriti 2,230 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *