Polis Bantuan berlagak sebagai Pegawai, dipenjara sebulan dan didenda RM 15’000

SHAH ALAM: Gara-gara meminta wang RM3,000 daripada seorang kontraktor dua tahun lepas, seorang polis bantuan pada Khamis dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas Zakaria Kepol, 44, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu ketika menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa meminta wang tunai itu sebagai balasan untuk tidak mengganggu kerja-kerja pembinaan yang dijalankan kontraktor berkenaan di tapak projek perumahan di Presint 11, Putrajaya.

Dia didakwa melakukan kesalahan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dekat sini di antara 26 November 2015 dan 7 Disember 2015.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Ketika menjatuhkan hukuman, Rozilah berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius.

“Kita semua nak duit tapi biarlah secara halal. Kamu turut guna nama polis, kaitkan imigresen, semua terpalit sama dengan perbuatan kamu. Saya harap kamu jangan buat lagi…janji pada diri sendiri,” katanya menurut laporan Bernama.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung ibu dan seorang anak berumur dua tahun selain insaf atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Nurdihana Rosdi bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tindakan tertuduh meminta rasuah daripada orang awam dengan menyamar sebagai pegawai polis telah menjejaskan reputasi Polis DiRaja Malaysia di mata masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *