Puak Pembangkang Sakit Hati Melihat Kerajaan Malaysia Berjaya

20/03/2017 – Dek kerana sakit hati melihat kerajaan Malaysia berjaya, puak pembangkang sering melemparkan pelbagai dakwaan yang tidak masuk akal seperti mendakwa Malaysia adalah sebuah negara yang “gagal” hanya semata-mata untuk mencari jalan mempengaruhi rakyat.

Oleh itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru rakyat agar menjauhkan sifat keji pembangkang yang sering berusaha untuk menggagalkan projek-projek kerajaan.

Ini kata Menteri Wilayah Persekutuan itu, pembangkang mempunyai sifat cemburu dengan segala kejayaan yang dicapai oleh kerajaan dan disebabkan itu mereka cuba mencari jalan mempengaruhi rakyat.

“Saya rayulah tolong semua rakyat Malaysia, kita pun telah lancarkan Negaraku Malaysia, saya rakyat Malaysia, anda semua rakyat Malaysia, kita lahir di sini dan kehidupan kita daripada kecil pun di sini, kita akan mati di sini. Ini negara kita.

“Saya mintalah jangan jadi macam pembangkang ini yang tidak boleh tengok kejayaan yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pecah Tanah Rumawip Residensi Rampai II, hari ini.

Tambah beliau lagi, pembangkang sering berdoa supaya apa yang dilakukan oleh kerajaan akan gagal, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila perancangan kerajaan dapat berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, beliau berkata beliau tidak faham dengan sikap pembangkang yang bukan saja mahu merosakkan minda rakyat dengan dakyah-dakyah tidak betul, malah turut berusaha merosakkan negara dengan memburukkannya kepada pihak luar negara.

“Kita minta orang asing melabur di negara kita pun mereka nak buruk-burukkan hingga Aramco mula-mula takut nak masuk.

“Kita terpaksa beri penerangan kepada mereka sehingga mereka disedarkan apa yang telah disebut oleh pembangkang itu semata-mata tidak betul,” katanya.

Sementara itu, projek pembangunan yang dilancarkan oleh Tengku Adnan itu dijangka bermula pada Jun tahun ini dan akan siap pada 2021.

Ia merupakan projek usahasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan Pancaran Nilai Sdn Bhd yang akan membina sebanyak 308 unit pangsapuri dengan keluasa 800 kaki pesegi dengan mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *