Rafizi Anggap PAS Tak Diperlukan Untuk PKR Pertahankan Permatang Pauh

21/03/2017 – Susulan PAS Permatang Pauh mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR selepas Mesyuarat Agung Tahunan kawasan itu semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menyatakan bahawa beliau kononnya yakin PKR dapat mempertahankan kerusi kawasan itu tanpa bantuan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Keyakinan bekas Setiausaha Agung PKR itu bersandarkan semasa Pilihan Raya Kecil kawasan itu pada 2015 yang lalu.

“Tanpa sokongan segelintir penyokong PAS sebelum ini pun, calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tetap menang dalam pilihan raya kecil lalu di Permatang Pauh 2015 lalu,” katanya.

Beliau juga cuba mengingatkan supaya ahli-ahli PKR terus mendekati rakyat dan membela rakyat biasa di Permatang Pauh.

“Saya yakin prinsip membela rakyat seperti ini yang telah dizahirkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sekian lama telah memenangi hati rakyat Permatang Pauh.

“Walaupun pelbagai gelora politik melanda sejak 1999 kerana UMNO sangat menginginkan kerusi Parlimen Permatang Pauh itu,” katanya.

Dalam pada pada itu, Rafizi menyifatkan tindakan PAS kawasan berkenaan lebih kepada mengabaikan kepentingan dan mandat yang diberikan rakyat kepada pembangkang.

“Pada kala rakyat seluruh negara dibebankan dengan pelbagai masalah harian, adalah menjadi keutamaan kita untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi pertimbangan politik kepartian.

“Oleh itu, saya memohon supaya PKR Permatang Pauh khususnya dan PKR di seluruh negara amnya untuk memperbanyakkan lagi program-program yang membela rakyat dan tidak terlalu memberi perhatian kepada pelbagai polemik politik kepartian yang mengalihkan tumpuan kita dari membela rakyat,” katanya lagi.

Semalam, PAS Permatang Pauh mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR selepas Mesyuarat Agung Tahunan kawasan itu.

Menurut Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan, tindakan itu diambil kerana rakan Tahaluf Siyasinya itu terus mengadakan kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Bukan hanya PAS kawasan itu saja yang memutuskan hubungan dengan PKR, malah PAS kawasan Bayan Baru turut mengikut jejak PAS Kawasan Permatang Pauh apabila membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Ini kerana menurut Yang Dipertuanya, Iszuree Ibrahim, keputusan itu diambil ekoran beberapa tindakan pemimpin PKR yang membelakangkan parti tersebut ketika masih bekerjasama dalam pembangkang di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *