Rani Kulup bidas Ritual Raja Bomoh guna meriam buluh.

KUALA LUMPUR: Tindakan ‘Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP’ atau Ibrahim Mat Zin yang membuat ritual melindungi Malaysia daripada ancaman Korea Utara dengan menggunakan meriam buluh hanya gimik semata-mata.

Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup berkata, paling penting doa seluruh rakyat negara ini untuk memastikan negara sentiasa aman dan isu kedua-dua negara dapat diselesaikan segera.

“Apa yang dibuat Raja Bomoh itu hanya gimik, dia hanya mahu menarik perhatian masyarakat agar sensitif dengan isu Korea Utara.

“Tidak ada yang perlu dihairankan, Raja Bomoh memang akan melakukan sesuatu perkara untuk menarik perhatian masyarakat, kita sebagai rakyat perlu berdoa agar isu ini berakhir segera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rani mengulas video Ibrahim bersama beberapa orang pengikutnya pada Ahad yang dirakan melakukan ritual di tepi pantai mengunakan teropong, dua biji kelapa dan lima buah meriam buluh sebagai simbolik selain berdoa bagi memastikan keselamatan rakyat di negara ini.

Video berdurasi tiga minit 18 saat yang dimuat naik portal smasanews.com itu turut memuatkan pesanan Ibrahim yang meminta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik untuk sama-sama mempertahankan maruah negara dalam menghadapi ancaman Korea Utara.

Sebelum ini, pendakwah bebas, Datuk Md Daud Che Ngah meminta Jabatan Agama Islam dapat segera menangkap Ibrahim seperti beberapa kes syirik agama sebelum ini.

Ibrahim pernah menggemparkan negara kerana berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mendakwa dijemput oleh seorang pegawai tertinggi negara bagi menggunakan kaedah ilmu tradisional dan solat hajat untuk mencari pesawat MH370.

Ibrahim juga pernah dilihat berjalan di sekitar kawasan di mana mendiang Karpal Singh meninggal dunia sambil memegang suatu objek serupa sebuah mangkuk selain mendakwa kematian Pengerusi DAP itu berpunca daripada gangguan puaka Gua Tempurung.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Ahmad Zaharin Mohd Saad dilaporkan memberitahu Ibrahim bakal dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor jika siasatan mendapati perbuatannya menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini juga pernah menerima ugutan Ibrahim yang mengancam mahu menamparnya “macam buaya” kerana dakwaan aksi bomoh itu memalukan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *