Sarang pengintipan Korea Utara bertempat di Cyberjaya?

Ketika kerajaan Malaysia dan Korea Utara cuba menyelesaikan isu ketegangan hubungan diplomatik, tumpuan kini terarah kepada kehadiran lebih 1,000 rakyat republik itu di Malaysia.

Ia ekoran pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) yang menimbulkan minat banyak pihak terhadap operasi risikan Pyongyang di Malaysia.

Berselindung di sebalik kerjaya dalam pelbagai bidang, sumber memberitahu Bernama kehadiran rakyat Korea Utara di negara ini dirancang bagi membentuk rangkaian risikan yang teratur.

Maka tidak sukar untuk memahami mengapa kebanyakan warga Korea Utara terdiri daripada pakar teknologi maklumat (IT) berselindung kerjaya di syarikat
tempatan di Cyberjaya, untuk memudahkan mereka mengumpul maklumat dan data
secara dalaman.

“Mereka ini bukanlah orang sembarangan kerana telah terlebih dahulu dilatih khas sebelum dipilih oleh pihak rejim untuk bekerja di luar negara.

“Kehadiran mereka di Malaysia sambil ditaja syarikat tempatan, bukan setakat untuk bekerja tetapi juga menjadi perisik terlatih,” kata sumber.

Kumpulan ini juga adalah sebahagian daripada kira-kira 100,000 warga Korea Utara bekerja di luar negara dan menjadi sumber berharga apabila turut mengirim mata wang asing daripada usaha mereka kepada rejim itu.

Malahan dikatakan setiap keluarga Korea Utara di luar negara tertakluk kepada arahan untuk melaporkan diri ke kedutaan setiap bulan dan jika pulang ke negara asal pula mereka akan dikerah mengikuti “kursus pemulihan” sebelum
kembali ke dalam masyarakat.

Difahamkan selain bidang IT, rakyat Korea Utara juga aktif bekerja dalam bidang perlombongan arang batu di Sarawak selain menjadi rakan kongsi dengan rakyat Malaysia dalam sektor perniagaan.

“Mereka cuba untuk mengeksport barangan Malaysia ke Korea Utara dan juga sebaliknya walaupun tahu ramai pihak menyedari negara mereka dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Menurut sumber, menjadi lumrah majikan membayar terus gaji para pekerja itu kepada kedutaan Korea Utara manakala pekerja asing itu hanya dibayar elaun sara hidup.

“Pihak kedutaan kebiasaannya membawa wang keluar dari Malaysia dalam bentuk tunai kerana mereka tidak boleh membuat transaksi dalam talian berikutan sekatan oleh PBB ke atas Pyongyang.

“Mereka akan membawa beg mengandungi wang melalui kawalan keselamatan di lapangan terbang menggunakan keistimewaan diplomatik,” katanya merujuk kepada tiada tindakan halangan pihak berkuasa lapangan terbang.

Sumber itu juga bertanya mengapa lebih ramai warga Korea Utara bekerja di dalam sektor IT berbanding sektor lain dan bagaimana republik itu mampu melahirkan pakar IT yang ramai?

Sumber itu berkata jawapannya terdapat di sebuah portal berita “HackRead”, beroperasi di Milan, Itali, apabila mendedahkan wujud satu unit khas berkaitan infrastruktur IT milik rejim Korea Utara yang dikenali sebagai “Bureau 121”, yang menempatkan sebuah kumpulan elit terdiri daripada penggodam terlatih untuk melaksanakan tugas pengintipan siber dan jenayah siber.

Melayari portal berita itu, Bernama menemui siri temu bual portal berita itu
bersama Profesor Kim Heung Kwang, warga Korea Utara yang melarikan diri ke Korea Selatan pada 2004.

Berdasarkan petikan, Kim mengaku pernah mengajar subjek Sains Komputer di Korea Utara selama 20 tahun kepada kumpulan elit itu dan tidak hairanlah mengapa kumpulan “Bureau 121” sahaja dibenarkan mempunyai akses internet atau meninggalkan negara itu.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, ejen risikan yang bergerak aktif itu tidak dapat lari daripada pemerhatian pihak berkuasa Malaysia bagi memastikan mereka tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

“Semua perkhidmatan risikan di rantau ini menyedari perkara ini dan sepanjang masa operasi rahsia bagi memantau aktiviti Korea Utara giat dibuat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *