Saya Minta Orang UMNO-BN Tak Payah Datang, Saya Tak Ada Masalah – Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz tidak kisah sekiranya tiada wakil daripada UMNO-Barisan Nasional (BN) hadir ke wacana yang diadakan antara dirinya dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu ini.

“Saya minta orang UMNO-BN tak payah datang, saya tak ada masalah. Saya seorang pun boleh pergi.

“Lagi bagus (tak datang) sebab saya bukan nak bercakap dengan wakil UMNO, saya nak bercakap dengan pembangkang. Biar mereka dengar penjelasan saya,” demikian menurut Nazri mengulas perkembangan wacana berkenaan.

Nazri juga menegaskan tiada keperluan wacana yang dianjurkan Sinar Harian itu disiarkan secara langsung di RTM memandangkan kedua-duanya tidak mempunyai jawatan yang tinggi di dalam kerajaan dan pembangkang.

“Ya, sebab Dr Mahathir tiada jawatan. Dia bukan ketua pembangkang. Kalau dia ketua pembangkang mungkin kita jadi macam pembangkang lawan kerajaan. Sebab saya pun bukan ketua kerajaan. Ini individu-individulah. Kalau antara individu tak penting, tak boleh guna saluran kerajaan

“Lagipun Dr Mahathir cabar saya sebagai individu. Dan beliau bukan ketua pembangkang dan ketua pakatan. Dia tak ada status untuk ‘live’,” ujarnya lagi,

Semalam RTM menyatakan tidak berhasrat untuk membuat siaran langsung debat antara kedua-dua tokoh politik itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, debat itu bukan anjuran RTM tetapi hanya melibat dua individu berkenaan.

Rabu lalu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa Salleh membenarkan debat itu disiarkan secara langsung.

Debat tersebut dijadual berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak pada 25 Mac.

Antara topik perdebatan termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), RM2.6 bilion dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Projek Keretapi Laju Pantai Timur (ECRL) dan skandal BMF yang berlaku ketika Mahathir menjadi perdana menteri.

Pada awalnya, Nazri mencabar Mahathir untuk bertanding menentang beliau di Padang Rengas – kawasan Parlimen diwakilinya sejak 1995.

Bagaimanapun, Mahathir kemudian mengeluarkan cabaran balas dan meminta Nazri bertanding di Langkawi.

Selepas siri cabar mencabar, kedua-duanya bersetuju untuk berdebat di Padang Rengas, pada 25 Mac, bertepatan lawatan Mahathir ke kawasan itu bagi menghadiri satu majlis anjuran BERSATU.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengesahkan telah menerima permohonan daripada pihak penganjur dan menyokong debat berkenaan. – ap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *