‘Saya Tidak Sampai Hati Meninggalkannya’

JOHOR BAHRU – Nasib seorang tukang jahit yang disahkan menghidapi kanser tiroid tahap empat sejak empat bulan tidak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila suaminya, Mohd Nasir Mat Jusoh,45, yang bekerja sebagai pemandu jentera berat koma akibat mati otak berpunca daripada serangan asma.

Saripah Palichok,32, hilang tempat bergantung dan punca pendapatan utama selepas suaminya itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, sejak 13 hari lepas.

Menceritakan kisahnya, ibu kepada tiga anak perempuan berusia antara 5 hingga 14 tahun itu berkata, pada November lalu dia menjalani ujian darah di HSA kerana tubuhnya kerap menggigil serta bertambah lemah.

Menurutnya, dia tidak sangka disahkan menghidap kanser tiroid tahap empat dan dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Disebabkan keadaan jantung saya masih lemah, saya tidak dibenarkan menjalani rawatan kemoterapi, sebaliknya dibekalkan ubat dan perlu menjalani pemeriksaan susulan seminggu sekali.

“Ketika itu, suami banyak memberi semangat kepada saya serta membantu saya bagi mengurus makan minum anak ketika hari tidak bekerja, namun kini dia pula yang sakit,” katanya.

Katanya, sebelum ini, suaminya memang menghidap penyakit asma tetapi tidak serius namun pada 5 Mac lalu dia mengalami serangan ketika bekerja.

“Pada jam 7 malam pada 5 Mac suami ke Klinik 1 Malaysia terletak berhampiran kediaman kami di Permas Jaya dan terus rebah hingga dihantar ke HSA dengan menggunakan ambulans.

“Serangan asma itu juga mengakibatkan oksigen tidak dapat disalurkan ke otak hingga suami mengalami mati otak.

“Pada minggu pertama suami telah menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindah ke wad di Blok Dahlia namun masih dalam pemantauan kerana keadaannya kritikal,” katanya.

Saripah berkata, doktor tidak memberi sebarang harapan atau menyatakan suaminya mampu sembuh tetapi meminta keluarganya bersiap sedia menerima sebarang kemungkinan.

“Kami faham apa yang dimaksudkan doktor dan saya tidak sampai hati meninggalkannya. Saya mahu berada di sisinya pada setiap masa dan dalam masa yang sama melupakan sakit yang saya alami kerana mahu memberi tumpuan kepada suami.

“Buat masa ini saya hanya ke HSI seminggu sekali bagi menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Dia berkata, selepas disahkan menghidap tiroid, dia tidak lagi meneruskan kerja-kerja menjahit, malah terpaksa menyerahkan kesemua anaknya di bawah jagaan ibunya buat sementara waktu.

Tambahnya, nasib yang menimpa keluarganya itu menyebabkan dia terpaksa memberhentikan persekolahan anak bongsunya di sebuah tadika dan tidak lagi memberikan wang saku kepada anak sulung dan keduanya.

Sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan dan bantuan boleh menghubungi Saripah di talian 010-3060057. – sh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *