Simpanan KWSP bukan untuk bayar hutang atau Ah Long

KUALA LUMPUR — Menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar hutang kad kredit atau ah long adalah bertentangan dengan prinsip dana persaraan tersebut untuk menyediakan simpanan persaraan untuk ahlinya, demikian Dewan Rakyat diberitahu.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, pengeluaran simpanan Kwsp hanya dibenarkan untuk tujuan berkaitan persaraan dan pelaburan bagi menambah nilai kepada simpanan terbabit.

“Membenarkan ahli mengeluarkan simpanan Kwsp untuk menyelesaikan hutang akan menggagalkan matlamat Kwsp.

“Dalam memastikan ahli mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung komitmen selepas persaraan mereka,” kata MoF dalam jawapan bertulis kepada soalan daripada Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) mengenai cadangan untuk pengeluaran seumpama itu.

Pengeluaran seperti itu akan mengurangkan simpanan ahli Kwsp dan menjejaskan pelan persaraan mereka, kata MoF.

Kepada soalan lain daripada Kasthuriraani, MoF berkata, berdasarkan data Jabatan Insolvensi, seramai 119,656 rakyat Malaysia telah diisytihar muflis pada 2010 hingga 2015.

Data itu juga menunjukkan jumlah rakyat Malaysia yang berhutang meningkat daripada 18,119 pada 2010 kepada 22,351 pada 2014 sebelum menurun kepada 18,457 pada 2015. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *