Sindiket pengedaran Ecstacy tumbuk tumpas.

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima individu termasuk tiga wanita, 10 Mac lalu.

Sindiket terbabit dikesan mengedar dadah ecstasy ditumbuk dan dimasukkan di dalam paket minuman segera sebelum diedarkan ke pusat hiburan di sekitar Kuala Lumpur.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Guan Beng Kang berkata, bertindak atas maklumat pihaknya menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di tepi jalan di Taman Maluri jam 2 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas beg silang dipakai suspek menemui dua paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki syabu.

“Penahanan suspek membawa pihak polis ke sebuah apartmen di Taman Maluri sebelum menahan empat lagi suspek iaitu sepasang suami isteri warga tempatan dan dua wanita warga Vietnam.

“Pemeriksaan di dalam apartmen itu menemui serbuk disyaki ectasy lebih 1.2 kilogram, 41 biji kapsul mengandungi serbuk ecstasy, 187 biji pil ecstasy, satu paket dadah syabu, satu paket dadah ketamin, satu paket dadah ganja serta 10 biji pil eramin 5 yang dianggarkan bernilai lebih RM97,000.

Turut dirampas sepucuk pistol, tiga pedang samurai, lesung batu dipercayai digunakan untuk menumbuk dadah untuk dipaketkan serta alat penimbang,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, semua suspek berusia 27 hingga 43 tahun direman sehingga 17 Mac ini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjatapi Berbahaya 1958,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *