Singapura naikkan had usia minimum untuk beli produk tembakau

SINGAPURA: Usia minimum yang dibenarkan di bawah undang-undang untuk dijual produk tembakau akan dinaikkan daripada 18 kepada 21 tahun.

Perubahan itu akan dilaksanakan secara berfasa sepanjang beberapa tahun akan datang, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan, Amy Khor di Parlimen hari ini (9 Mac).

“Kami mahu melindungi anak-anak muda kami daripada bahaya tembakau, dan membentangkan asas bagi kesihatan yang baik,” katanya.

Dr Khor berkata di Singapura, 45 peratus perokok yang menjadi perokok kerap berusia antara 18 hingga 20 tahun. Kajian juga menunjukkan otak anak-anak remaja mempunyai sensitiviti lebih tinggi terhadap kesan-kesan nikotin, dan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan mereka yang tidak mula merokok sebelum berusia 21 tahun “tidak berkemungkinan akan mula merokok sekalipun,” tambahnya.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Lembaga Penggalakkan Kesihatan menjalankan rundingan awam tentang langkah-langkah lanjut kawalan tembakau antara Disember 2015 dan Mac 2016, dan maklum balas menunjukkan “sokongan agak tinggi” bagi menaikkan usia minimum bagi merokok di Singapura.

Oleh itu, untuk terus tidak membiasakan penggunaan tembakau dan mengurangkan jumlah anak muda merokok, kementerian itu akan mengusulkan pindaan-pindaan undang-undang kepada Parlimen dalam masa setahun untuk meningkatkan usia minimum untuk menjual produk tembakau kepada golongan bawah umur daripada 18 kepada 21 tahun. Perubahan ini akan dijalankan secara berfasa sepanjang beberapa tahun ini, kata Dr Khor.

Dr Khor juga memberikan maklumat terkini tentang menyamakan bungkusan tembakau, dan berkata pihaknya sudah mengkaji dengan teliti pengalaman Australia, Perancis dan Britain kerana negara-negara itu sudah melaksanakannya.

“Kami melihat nilai yang ketara dalam mengorak langkah ke hala tuju ini, untuk mengurangkan daya tarikan produk tembakau, terutamanya kepada anak muda, dan meningkatkan ketampakan dan keberkesanan amaran-amaran kesihatan,” katanya.

“Kami akan menjalankan lebih banyak rundingan awam tentang bungkusan standard tahun ini untuk mendapatkan lebih banyak pandangan yang lebih terperinci tentang langkah-langkah menyamakan bungkusan yang boleh dilakukan.”
– CNA/nd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *