Strategi bertahan Skuad Bolasepak B-22 negara berhasil ikat China 1-1

Taktikal bertahan dan menekan diamalkan anak buah Frank Bernhardt ketika bertemu China dilihat antara kunci pasukan muda negara berjaya mengikat lawan 1-1 pada aksi sulung Kejohanan Bawah 23 (B-23) Piala Dubai 2017 di Stadium Police Officers Club, Dubai kelmarin.

Skuad B-22 negara yang kini dalam persediaan menghadapi temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos nanti menggunakan pendekatan taktikal berbeza daripada aksi terakhir berdepan Vietnam dalam perlawanan persahabatan bulan lalu yang menyaksikan mereka dibelasah 0-3.

Malaysia tampak ‘belajar’ sesuatu daripada kekalahan memalukan itu apabila berhasil memastikan China yang dibimbing Fabrizio Del Rosso terpaksa menggigit jari khususnya pada babak pertama walaupun lawan dibarisi pemain lebih baik.

“Pada separuh masa pertama, kami bermain dengan corak bertahan kerana mereka menurunkan pemain yang bagus.

“Tapi berbeza selepas rehat, kami lebih banyak menguasai permainan dan menyerang dengan taktik menekan serta serangan balas. Sebenarnya kami ada dua peluang baik untuk menjaringkan gol,” katanya.

Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, China terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti Yao Jun Sheng pada minit ke-69.

Bagaimanapun, pemain negara menunjukkan semangat juang jitu dengan melancarkan serangan bertali arus yang membuahkan hasil pada minit ke-90 apabila penyerang N Thanabalan pantas menyambar bola muntah tangkapan penjaga gol China Zhou Yu Chen, hasil tandukan pertahanan negara, Syazwan Zaipol Bahari.

“Keputusan 1-1 ini bagi saya baik untuk kedua-dua pasukan. Saya harap pemain dapat menggunakan keputusan ini sebagai motivasi untuk beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Penarikan diri Arab Saudi pada saat akhir menyaksikan Malaysia bakal meneruskan kempen menentang Thailand esok, sebelum bertemu Singapura pada Ahad ini. Jordan akan menjadi lawan terakhir ditemui Selasa depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *