Sultan Selangor kecewa pemimpin politik cemari negara dengan elemen negatif

Sultan Selangor hari ini bertitah politik ialah usaha membangunkan negeri, bukannya untuk memburu kuasa semata-mata.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, pemimpin parti khususnya dari kerajaan Selangor perlu meneruskan amalan politik luhur berteraskan prinsip dan nilai.

“Beta ingin menyatakan politik bukanlah semata-mata untuk memburu kuasa.

“Politik dalam pengertian sebenar adalah usaha untuk mencapai urus tadbir cemerlang dalam membangunkan negeri,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Baginda turut kecewa dengan tindakan segelintir pemimpin parti yang mencemari landskap politik negara dengan elemen negatif seperti perasaan benci, marah dan perkauman sempit.

“Amat malang sekali politik hari ini dicemari kebencian, kemarahan, fitnah, menimbulkan salah faham antara satu sama lain dan perkauman sempit.”

Dalam perkembangan lain, Sultan Sharafuddin berpuas hati dengan sikap terbuka dan telus kerajaan negeri dalam memuktamadkan pengambilalihan syarikat konsesi air.

“Beta difahamkan kerajaan persekutuan turut mengambil langkah sama seperti langkah kerajaan negeri, iaitu melantik penilai bebas untuk menentukan nilai pengambilalihan.

“Beta berharap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dapat memuktamadkan proses ini dengan menjamin kepentingan negeri dan rakyat.

“Beta mahu semua pihak mengambil sikap bertanggungjawab dan tidak mempolitikkan isu air semata-mata kerana kepentingan sempit kumpulan sehingga sanggup mengorbankan kepentingan rakyat,” titah baginda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *