Tak puas hati disaman, pekerja kontrak acu pisau pada Pegawai Kesihatan.

Seorang pekerja kontrak membaik pulih Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung di sini ditahan polis semalam, kerana mengugut dan membuat provokasi menggunakan pisau lipat terhadap Pegawai Pejabat Kesihatan Seri Manjung yang menyamannya kerana merokok di premis kerajaan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu warga tempatan berusia 33 tahun itu disaman selepas empat pegawai kesihatan yang menjalankan Operasi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di premis kerajaan, terserempak dengan lelaki berkenaan yang sedang merokok di pintu belakang bangunan tersebut.

“Semua pegawai berkenaan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa kepada lelaki itu dan meminta rokok sebagai exhibit (bahan bukti) serta meminta kad pengenalan.

“Bagaimanapun sebaik pegawai kesihatan menulis notis saman, lelaki itu terus membuat provokasi dengan menangkap gambar dan mengugut akan mencari pengadu di luar,” kata Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah, ketika dihubungi di sini, semalam.

Tengku Mohd Zailan berkata, lelaki itu yang tidak berpuas hati selepas disaman pihak berkuasa kemudian bertindak menconteng bahagian tanda tangan sambil mengeluarkan kata-kata ugutan.

“Ketika semua pegawai kesihatan hendak meninggalkan kawasan tersebut, lelaki tersebut telah bermain-main pisau lipat di hadapan mereka sehingga menimbulkan ketakutan,” katanya.

Tengku Mohd Zailan berkata, pegawai berkenaan membuat laporan polis dan suspek telah ditahan pada hari yang sama mengikut Seksyan 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah. – Bernama

One thought on “Tak puas hati disaman, pekerja kontrak acu pisau pada Pegawai Kesihatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *