Telur ayam di pasaran dijamin bebas dari H5N1

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan telur dan ayam pedaging di pasaran, dikeluarkan oleh pengusaha dan penternak di negeri yang bebas sepenuhnya daripada virus Highly Pathogenic Avian Influenza (H5N1).

JPV dalam satu kenyataan berkata, telur dan daging ayam di pasaran adalah selamat dimakan.

“Setakat ini juga tiada kes jangkitan virus itu dikesan dalam kalangan manusia,” katanya.

Pada 6 Mac lalu kes H5N1 dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan, apabila beberapa ekor ayam kampung yang mati, disahkan positif virus berkenaan.

Kerajaan negeri Kelantan kemudian mengisytiharkan wabak berkenaan sebagai bencana negeri berikutan wabak itu merebak di dua lagi jajahan iaitu Bachok dan Pasir Puteh.

Mengulas lanjut JPV berkata, unggas di negeri-negeri lain kekal bebas daripada virus itu dan berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

“Semua negeri yang bebas sedang melakukan pemantauan (survelan) aktif serta kawalan pergerakan unggas di jalan masuk ke negeri masing-masing,” katanya.

Setakat semalam dilaporkan sebanyak 35 lokasi disahkan positif virus H5N1 di Kelantan termasuk satu lokasi baharu dikesan positif virus berkenaan iaitu di jajahan Bachok.

“Secara keseluruhan 35 lokasi disahkan positif virus H5N1 di enam jajahan iaitu 15 lokasi di Kota Bharu, Pasir Mas (enam), Tumpat (empat), Tanah Merah (satu), Bachok (enam) dan Pasir Putih melibatkan 49 premis,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *