Wanita di Ipoh bernasib malang bila akaun Facebook digodam

IPOH: Seorang wanita mendakwa akaun Facebook miliknya digodam pihak tertentu yang kemudian memperdaya beberapa rakannya untuk menyerahkan wang.

Wong Yee Ching, 50, hanya menyedari akaun laman sosialnya digodam selepas bertemu rakan pada majlis makan malam di sebuah hotel di sini, minggu lalu.

“Rakan saya bertanya kenapa perlu mengirimkan mesej menerusi Facebook Messenger sedangkan kami bersada di majlis sama.

“Saya terkejut dan menafikannya. Saya cuba membuka akaun Facebook tetapi gagal kerana segala butiran termasuk kata kunci sudah ditukar sebelum menyedari laman Facebook saya digodam,” katanya pada sidang media bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Ipoh di sini, hari ini.

Yee Ching berkata, susulan kejadian itu, beberapa rakan di Facebook memaklumkan penggodam berkenaan meminta bantuan tambah nilai Money Online (MOL) di sebuah kedai serbaneka 24 jam yang membolehkan seseorang membeli barangan tanpa bayaran tunai di rangkaian kedai berkenaan.

Katanya, setiap rakan yang diperdaya membeli tambah nilai RM100 sekeping manakala seorang membeli tiga keping berjumlah RM300 kerana menyangka beliau benar-benar terdesak, sebelum memberikan butiran tambah nilai itu menerusi akaun Facebook miliknya.

Yee Ching membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abd Rani Alias, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan namun kes itu dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, rakan mangsa yang mendakwa mengalami kerugian belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Pengerusi MCPF Ipoh, Henry Choong Foh Kuan, meminta orang ramai berhati-hati dan tidak terpedaya dengan penipuan atas talian seperti yang berlaku ke atas Yee Ching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *