Zairil Gagal Bantah Persempadanan Semula SPR Di Parlimen Bukit Bendera

13/03/2017 – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula kawasan di parlimennya.

Hakim Mahkamah Tinggi Lim Chun Fong menolak permohonan tanpa kos itu, berkata semakan kehakiman tidak boleh dimulakan pada masa ini.

Ini kerana menurut beliau, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan kerana perkara itu masih di peringkat cadangan SPR dan hanya akan diputuskan di Parlimen.

“Mahkamah buat masa ini masih belum mempunyai kuasa kerana ia belum dimuktamadkan di Parlimen,” katanya.

Permohonan itu difailkan Zairil pada 25 November lalu, yang mendakwa SPR tidak menjalankan kajian semula terhadap persempadanan semula empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Bukit Bendera.

Kes dikendalikan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolkhassan dan Nik Azrin Zairin Nik Abdullah mewakili SPR, sementara Zairil diwalkili peguam, Yap Boon Haw.

Pada 1 November tahun lalu, Kerajaan DAP Pulau Pinang bercadang memfailkan saman ke atas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa tidak adil dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Menurut ketua Menteri negeri itu, Lim Guan Eng, walaupun proses itu tidak membabitkan banyak kerusi, namun pihaknya tetap merasakan pembahagian sempadan itu tidak adil kepada Pulau Pinang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *