11 Pelajar MRSM Disahkan Menghidap Penyakit Tibi Atau Batuk Kering

TAIPING – Seramai 11 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, telah disahkan menghidap penyakit Tuberkulosis (Tibi) atau Batuk Kering.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata 10 daripadanya ketika ini sedang menerima rawatan manakala seorang lagi telah pulih.

“Kes pertama telah dikesan pada Ogos tahun lalu manakala terkini ialah pada 4 April.

“Namun 10 pelajar tingkatan lima yang terdiri daripada 7 lelaki dan 3 perempuan itu ketika ini menunjukkan perkembangan positif, beransur pulih serta menjalankan aktiviti harian seperti normal.

“Kita juga tak perlu mengisolasikan mereka kerana ianya bukan penyakit berjangkit, hanya perlukan rawatan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke atas sekolah terbabit pada Rabu.

Sehubungan itu juga, Dr Mah menggesa ibu bapa supaya memastikan anak mereka mendapatkan imunisasi yang sewajarnya bagi mengelak daripada berlakunya kes-kes seperti ini.

“Khususnya kepada anak-anak yang tinggal di asrama seperti ini yang lazimnya mempunyai risiko tinggi untuk terkena penyakit-penyakit begini,” ujar beliau. – aw

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *