12 individu ditahan jadi ejen haram pekerja asing

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 orang awam termasuk dua wanita yang berperanan sebagai orang tengah atau ejen bagi pekerja asing dalam urusan memperbaharui Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Pembongkaran sindiket itu merupakan kerjasama di antara SPRM dengan MyEG Services Berhad (MyEG) selepas mendapati wujudnya kegiatan rasuah dalam proses memperbaharui PLKS secara atas talian menerusi portal syarikat tersebut.

Difahamkan, selepas permohonan dibuat secara atas talian, majikan kepada pemohon tersebut sahaja yang dibenarkan untuk mengambil permit tersebut.

Bagaimanapun, ejen-ejen ini dikatakan akan menghulurkan sejumlah wang kepada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab untuk menyerahkan permit tersebut tanpa kehadiran majikan.

Menurut sumber SPRM, ejen-ejen tersebut dipercayai menawarkan wang rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM700 bagi setiap permohonan agar proses penerimaan PLKS bagi pihak pekerja asing tersebut boleh dilakukan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Tangkapan ke atas semua suspek tersebut dibuat dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM kira-kira pukul 11 pagi di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Johor semalam,” katanya ketika dihubungi semalam.