18 Pelajar Sekolah Yang Sertai Geng 24 Ditahan Polis Selepas Buat Kecoh Diluar Sekolah

PETALING JAYA – Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan penunggang motosikal yang mencetuskan kekecohan di luar sebuah sekolah, selepas video kekecohan itu tersebar malam semalam.

Dalam tweet pagi ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata 18 individu ditahan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti Gang 24.

Beliau berkata ia termasuk 13 pelajar dan 5 yang lain yang ditangkap sekitar Klang.

Beliau memberi amaran lebih ramai lagi akan ditangkap.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Staffoc) yang pantas menumpaskan jenayah terbabit dan menulis di twitternya,

“Syabas STAFFOC @PDRMsia, 13 pelajar, 5 bukan pelajar di sekitar Klang. Ramai lagi akan ditangkap terlibat dalam aktiviti Gang 24.”

Malam tadi, 2 video menunjukkan penunggang motosikal menyalakan mercun, menjerit, memegang sepanduk dan merempit tersebar di laman sosial.

Dalam klip 45 saat itu kelihatan lelaki yang memakai topi keledar mengibarkan sepanduk tertulis TD4 24.

Seorang lagi memusingkan rantaian mercun panjang yang dibakar dan meletup di udara dengan kuat.

Sesetengah pelajar lelaki dalam video ini kelihatan cemas dalam kekecohan yang penuhi asap mercun dan berjalan menjauhi lokasi kejadian sambil menutup hidung mereka.

Menurut laporan The Star, video lain selama 1.14 minit, menunjukkan penunggang motosikal itu melakukan perkara yang sama berulang kali.

Menurut akhbar itu, kekecohan tercetus selepas waktu sekolah kerana ramai pelajar yang berjalan kaki dilihat cuba mengelak penunggang motosikal.

Video ke-2 didekatkan paparannya dan terlihat tulisan “SMK Sri Andalas”, “24” dan “Apache” ditulis di sepanduk. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *