68 kanak-kanak pelarian Syria maut apabila konvoi diserang

DAMSYIK: Enam puluh lapan kanak-kanak antara 126 mangsa yang terbunuh dalam serangan berani mati ke atas beberapa buah bas yang membawa kumpulan pelarian Syria di Aleppo pada Ahad.

Kumpulan penyerang yang tidak diketahui itu menggunakan taktik keji apabila menghulurkan makanan ringan kepada sekumpulan kanak-kanak yang lapar sebelum pemandu kereta terbabit meletupkan kenderaan yang dikerumuni golongan kecil tersebut.

Serangan terbabit berlaku berdekatan pusat pemeriksaan ketika tentera kerajaan dan pemberontak bersetuju untuk membenarkan penduduk awam meninggakan kawasan pertempuran.

Dua buah bas yang membawa pelarian turut musnah dalam serangan tersebut.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, antara yang terbunuh termasuk pekerja bantuan dan anggota kumpulan pemberontak.

Proses memindahkan kumpulan pelarian itu tetap diteruskan dari kawasan yang dikuasai tentera kerajaan di Foah dan Kefraya.

Tiada pihak bertanggungjawab dalam kejadian itu memandangkan kesemua kenderaan tersebut tidak boleh meninggalkan atau memasuki kawasan terbabit tanpa kebenaran kerajaan.

Presiden Bashar al-Assad mendakwa, kejadian itu didalangi oleh kumpulan penentang.

Sementara itu, media tempatan melaporkan cebisan anggota tubuh dan beberapa mayat mangsa ditemui bergelimpangan berhampiran bas yang musnah dalam letupan tersebut.

Dalam satu kenyataan, kumpulan pemberontak, Ahrar al-Sham turut mengutuk pengeboman tersebut.

“Kami menolak sebarang tuduhan yang dilemparkan untuk jenayah kejam ini. Peranan kami adalah untuk melindungi orang awam dan bukan membunuh mereka,” kata jurucakapnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *