9 jenis Sihir didalam perubatan Islam

Kebanyakan kita tahu mengenai sihir, namun masih ramai yang tidak memahami apa sebenarnya disebut sebagai ilmu sihir.

Dalam kebanyakan hal berkaitan sihir, ia berpunca daripada perasaan dengki, cemburu, cinta, kasih dan marah serta pelbagai emosi yang sukar dikawal. Dari sisi perubatan Islam, sihir terbahagi kepada sembilan jenis.

1. Sihir pemisah suami isteri (tafriq)

 

Sihir jenis ini memang secara jelas kewujudannya berdasarkan dalil al-Quran. Allah menerangkan di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 102, yang bermaksud:

“Mereka mempelajari daripada kedua-dua malaikat ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.”

Antara tanda seseorang itu terkena sihir jenis ini termasuk perubahan tiba-tiba daripada cinta menjadi benci, enggan memohon maaf, timbul keraguan, memperbesarkan perselisihan faham, melihat suami atau isteri dalam rupa menakutkan atau hodoh.

Orang yang terkena sihir pemisah ini akan membenci setiap perbuatan yang dilakukan pasangan, tidak betah tinggal bersama dan mudah rasa amat benci.

2. Sihir percintaan

Banyak petanda yang boleh dikesan sekiranya terkena sihir percintaan. Biasanya seseorang itu akan berubah menjadi angau, sukar mengawal perasaan, rindu bayang berlebihan, gelora cinta membuak-buak dan mengikut kata pasangan secara membuta tuli.

3. Sihir pandangan

Mereka melihat benda yang diam seolah-olah bergerak dan sebaliknya, melihat yang kecil menjadi besar dan sebaliknya, nampak sesuatu tidak sebagaimana yang sebenarnya.

4. Sihir buat seseorang menjadi gila

Orang yang terkena sihir ini menjadi bingung, bodoh dan pelupa. Bercakap yang tidak berkaitan, matanya layu, sentiasa resah dan bergerak ke sana-sini, enggan duduk diam, tidak mampu meneruskan pekerjaan tertentu, selekeh, tidak tentu arah dan suka tidur di tempat sunyi.

5. Sihir membuatkan seseorang tidak bermaya

Seorang yang normal akan berubah menjadi pasif, suka berseorangan, memencilkan diri sepenuhnya, diam berterusan, tidak suka bertemu orang, fikiran melayang, selalu pening, lesu dan tidak bermaya.

6. Sihir panggilan

Selalu mengalami mimpi ngeri, mendengar suara yang bercakap kepadanya dalam keadaan jaga tetapi tidak melihat orangnya, kerap waswas, meragukan teman dan orang yang dicintainya, mimpi seakan-akan jatuh dari tempat tinggi atau mimpi melihat haiwan mengejarnya.

7. Sihir membuat penyakit

Kebiasaannya mangsa yang disihir akan menderita penyakit tertentu. Contohnya jika disihir lumpuh maka orang yang terkena sihir akan benar-benar lumpuh. Tanda seseorang yang menjadi mangsa sihir ini termasuk selalu sakit pada salah satu anggota badan, saraf tersumbat, lumpuh salah satu anggota tubuh, lumpuh menyeluruh dan kegagalan fungsi salah satu pancaindera.

8. Sihir pendarahan

Sihir ini berlaku kepada wanita. Tandanya mudah. Seorang perempuan yang terkena sihir ini akan mengalami masalah kedatangan haid yang tidak berhenti-henti, ataupun tempohnya lebih panjang daripada kebiasaan.

9. Sihir menahan pernikahan

Mereka yang terkena sihir ini akan berubah menjadi takut, marah yang sukar dikawal dan lalai. Tanda sihir ini ialah pening yang berterusan, sesak di dada terutama antara waktu Asar hingga tengah malam, fikiran melayang, gelisah ketika tidur, selalu sakit di perut dan sakit di tulang punggung.

Antara rawatan yang disarankan untuk merawat sihir adalah dengan membawa surah al-Fatihah, diikuti ayat Kursi. Kemudian susuli bacaan surah al-Furqan (ayat 23), surah Yunus (ayat 81 hingga 83), surah al-Anbiya (ayat 87), akhir surah al-Mukminun diakhiri surah al-Hashr (ayat 21).

Perlu diketahui juga antara barang yang selalu digunakan dalam menundukkan pasangan ialah:

• Nasi tangas

• Tulang kera duku

• Tulang burung jampok

• Azimat tertentu yang biasanya dibalut kain kuning, hitam, merah

• Beri makan kotoran seperti rambut, debu atau kuku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *