Adun BN Tetap Akan Bahas Usul Perletakkan Jawatan Guan Eng Di Sidang DUN

21/04/2017 – Walaupun telah jelas beliau kini menghadapi dua tuduhan rasuah yang boleh mencemar imejnya sebagai Ketua Menteri, namun kedegilan Lim Guan Eng untuk melepaskan jawatannya membuat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang terpaksa mengambil tindakan.

Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung parti rasis dan cauvinis DAP tetap meneruskan tugas beliau sebagai Ketua Menteri seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Wahal tuduhan yang dihadapi bukannya perkara biasa, sebaliknya boleh membuat rakyat meragui kewibawaannya sebagai pemimpin untuk mentadbir negeri di bawah beliau.

Isnin lepas, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman meminta Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid untuk membawa usul bagi mendesak Guan Eng mengambil cuti sebagai Ketua Menteri sementara perbicaraan kes rasuahnya berjalan.

Walaupun sekiranya usul tersebut akan ditolak, ADUN BN Pulau Pinang menegaskan akan tetap membangkitkan desakan agar Guan Eng mengambil cuti daripada tugasnya sebagai Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula 19 Mei ini.

“Jika usul yang akan dibawa oleh Datuk Jahara Hamid itu ditolak oleh speaker dewan Datuk Law Choo Kiang, perkara itu akan tetap dibangkitkan ketika perbahasan.

“Keputusan telah dicapai oleh ADUN Barisan Nasional bahawa usul itu akan dibawa oleh Datuk Jahara Hamid dan akan dihantar kepada speaker DUN melalui sistem ADUN NET sebelum 5 Mei,” kata ADUN Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad.

Jika dilihat tindakan pembangkang DUN Pulau Pinang ini, usul itu sememangnya wajar dikemuka dan dibahas pada sidang DUN kali ini berikutan Guan Eng kini berdepan pendakwaan di mahkamah atas dua tuduhan rasuah.

“Jika speaker tolak (usul), kami mempunyai pilihan kedua iaitu membuat usul tergempar tetapi itu memerlukan seorang pencadang dan 10 penyokong, baru usul itu dibenar untuk dibahaskan dan jika kedua-dua pilihan itu tidak berjaya, setiap ADUN BN akan bangkitkan perkara itu dalam perbahasan mereka,” kata Muhamad Farid.

Sementara itu, Law ketika diminta mengulas perkara ini mengatakan semua ADUN boleh mengemukakan usul mereka 14 hari sebelum tarikh persidangan.

“Ketika ini masih terlalu awal untuk mereka (ADUN) menghantar usul dan soalan lisan bagi persidangan Mei ini,” kata Law.

Guan Eng menghadapi dua tuduhan rasuah iaitu berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *