Anak nekad tidak berkahwin demi menjaga ibu bapa uzur.

PENDANG – Meskipun dirinya sudah menjangkau usia 60 tahun, namun dia masih perlu bekerja keras demi menjaga ibu dan bapanya yang sudah uzur.

Mariam Saad yang tinggal di Kampung Kerkau, Pendang perlu berjalan kaki setiap hari sejauh enam kilometer untuk menoreh getah.

Menurut Mariam, setiap pagi dia akan keluar dari rumah selepas subuh untuk pergi menoreh getah.

“Walaupun menoreh di tanah orang, alhamdulillah hasil yang diperoleh cukup untuk saya jaga makan minum emak dan ayah,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Ibunya, Che Yah Yassin, 86 dan bapanya, Saad Mad Daus, 87, sudah tidak mampu untuk bekerja lagi dan hanya duduk di rumah.

“Ayah saya menghidap penyakit asma, manakala emak pula menghidap darah tinggi dan mereka perlu dipantau dengan baik.

“Makan dan minum serta keperluan diri seperti mandi juga memerlukan saya untuk membantu mereka.

“Alhamdulilah saya sendiri tidak ada sebarang penyakit jadi bolehlah menjaga emak dan ayah dengan baik,” katanya.

Pendapatan Mariam bagi tempoh sebulan cuma RM200 dan dengan wang itulah dia menyara kehidupan mereka tiga beranak.

Mariam yang tidak pernah berkahwin nekad untuk menjaga kedua orang tuanya dengan baik selagi termampu.

Keluarga ini tidak mempunyai sebarang akaun bank. Sekiranya orang ramai ingin menghulurkan bantuan bolehla menghubungi Mariam di talian 0108741351.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *