AS tuduh Moscow sengaja kelirukan dalang sebenar serangan di Syria

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jim Mattis, berkata ‘tidak ragu-ragu’ lagi rejim Syria mendalangi serangan kimia di negara itu minggu lalu, ketika pegawai AS menuduh Moscow menyebarkan maklumat salah mengenai kejadian itu.

Dakwaan Russia cuba mengelirukan siapa sebenarnya bertanggungjawab bagi kejadian ngeri pada 4 April lalu apabila 87 penduduk awam terkorban di Idlib dibuat ketika Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson, tiba di Moscow untuk bersemuka Kremlin berhubung sokongan kepada Presiden Bashar al-Assad.

Dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen, Presiden Vladimir Putin, bukan hanya mengulangi tindakan mempertahankan Assad, tetapi menyatakan pemberontak bersiap sedia melancarkan serangan yang dipalsukan bagi menarik campur tangan AS.

Putin berkata, Moscow juga mahu Putin mahu melihat siasatan menyeluruh serangan di bandar Khan Sheikhun yang dilakukan menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menyelar tuduhan AS.

“Tiada keraguan lagi rejim Syria bertanggungjawab di atas keputusan menyerang dan bagi serangan itu sendiri,” kata Mattis.

Dalam sidang akhbar Pentagon yang pertama, Mattis juga mengulangi amaran penggunaan senjata kimia seterusnya akan disusuli dengan tindakan AS.

“Jika mereka menggunakan senjata kimia, mereka perlu membayar harga amat, amat tinggi,” katanya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *