Bala Menanti Gara-Gara Kereta Sambung Bayar

21/04/2017 – Beli kereta dengan konsep sambung bayar merupakan salah satu pilihan yang mendapat sambutan ramai. Ini kerana konsep sambung bayar ini dikatakan lebih mudah kerana tidak perlu menyediakan dokumen untuk membuat pinjaman.

Ini kerana dokumen membuat pinjaman sudah dilakukan atas nama pemilik asal, di mana kita cuma ambil kereta dan bayar bulanan kepada bank walaupun bukan nama kita sebagai pemilik kereta.

Namun begitu, ramai yang tidak tahu membeli kereta atau menjual kereta sambung bayar mempunyai risiko yang amat tinggi walaupun sudah mempunyai surat hitam putih, selain perkara ini merupakan satu kesalahan dari sudut undang-undang di mana dendanya amatlah besar.

Bahana sambung bayar berlaku apabila pemilik baru tidak menjelaskan bayaran bulanan kepada institusi kewangan, terdapat saman atas kenderaan yang dilakukan oleh pemilik baru atau kenderaan terlibat dengan kes jenayah.

Selain itu, pemilik asal meninggal atau pemilik asal menuntut semula kenderaan. Apabila salah satu perkara seperti itu berlaku, maka pemilik asal akan diminta oleh pihak bank menjelaskan bayaran tertunggak dan nama akan disenarai hitamkan oleh pihak institusi kewangan.

Cukup tempoh 3 bulan tertunggak, pihak institusi kewangan akan mengeluarkan surat kepada team REPO untuk mengambil semula kenderaan dari pemilik asal. Bila ini berlaku pemilik asal perlu menanggung kos-kos yang terlibat. Pemilik asal hanya boleh mengambil kenderaan semula selepas pembayaran tunggakan di buat.

Kegagalan membayar tunggakan dalam tempoh yang ditetapkan akan membolehkan kenderaan berkenaan dilelong. Selepas lelongan sebarang kurangan dari hasil lelongan dan baki hutang perlu ditanggung oleh pemilik asal.

Sekiranya kenderaan gagal dikesan, pihak institusi kewangan akan mengeluarkan Notis Saman Tuntutan kepada pemilik asal bagi menjelaskan semua baki pinjaman. Kegagalan menjelaskan baki pinjaman akan membolehkan pihak institusi kewangan mendapatkan Notis Kebankrapan ke atas anda.

Walaupun terdapat perjanjian sambung bayar dibuat antara anda dan pihak pembeli baru, ianya tidak sah di sisi pihak institusi kewangan kerana pinjaman dan pemilikan kenderaan masih nama pemilik asal. Saman dan segala tindakan yang diambil adalah ke atas pemilik asal sahaja.

Kesimpulannya, kenderaan sambung bayar hanya akan memberikan kesusahan kepada pemilik asal kenderaan. Manakala pemilik baru bukanlah pemilik yang sah kenderaan berkenaan dan tidak boleh dan tidak mempunyai hak untuk menuntut kenderaan berkenaan sekiranya pemilik asal mengambil kenderaan mereka semula. – MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *