Bapa Murid Kembar Yang Mengadu Didera Ada ‘Agenda’ Tersendiri – Pengerusi Sekolah Tahfiz

KUALA LUMPUR – Sebuah sekolah tahfiz yang dituduh menghukum pasangan kembar yang mengadu dibuli dan diterajang pelajar senior hari ini menafikan dakwaan bapa mereka, dengan berkata ia bermotif jahat.

Pengerusi sekolah Al-Madrasatul Faridhiyah, Datuk Jawahar Ali sebaliknya berkata bapa kembar, Hamid Sultan, yang mendakwa seorang guru warga asing memukul dua anaknya itu kerana mengadu kerap dibuli sehingga cedera oleh pelajar lain, mempunyai “agenda” sendiri.

“Mungkin ada beberapa perkara yang dia kurang senang dengan kami, misalnya peruntukan yang kami terima. Bagi saya dia ada agenda kerana dakwaannya langsung tak betul,” katanya kepada FMT.

Jawahar berkata mereka berkawan tetapi mungkin Hamid terlalu marah ketika membuat laporan polis, dan menambah dia “berulang kali cakap nak jahanamkan tempat (sekolah) ini”.

Pada Isnin, FMT melaporkan Hamid, 42, mendakwa 2 anak kembarnya dibuli 9 pelajar sepanjang lebih 3 bulan belajar di sana.

“Mereka beritahu diterajang di muka, dipukul dengan raket badminton dan kayu kriket. Mereka dipukul di kaki lima, diheret ke tandas, dan juga di bilik. Telinga salah seorang ditarik sehingga koyak,” kata Hamid.

Menurutnya, pasangan itu kemudian dipukul seorang guru kerana mengadukan hal itu kepadanya.

Minggu lalu, beliau membuat 2 laporan polis berasingan di Balai Polis Wangsa Maju dan Balai Polis Klang mendakwa anaknya dibuli dan dipukul guru itu.

Jawahar berkata dakwaan itu “janggal” memandangkan tiada ruang di madrasah yang membolehkan buli berlaku tanpa diketahui orang lain.

“Dia kata 2 anaknya dipukul ustaz di surau selepas bacaan Yasin selepas sembahyang Subuh. Ketika itu, saya, ustaz dan pelajar ada di sini dan tiada siapa yang nampak ia berlaku. Malah hampir setiap hari saya sembahyang Subuh di sini.

“Memang ada ustaz yang merotan pelajar, tetapi bukan untuk membelasah mereka. Ia atas tujuan mendisiplinkan, dan satu keperluan,” katanya.

Sementara itu, guru Al-Quran Shahazad Basharat Ali menafikan kejadian buli itu beberapa kali dibawa kepada perhatian pihak sekolah.

Menurutnya, aduan dibuat sekali sahaja iaitu pada 3 April, sebelum Hamid datang ke sekolah pada 13-15 April dan membuat laporan polis.

“Itu sahaja aduan yang saya dengar dan tidak diberitahu oleh cikgu lain jika aduan dibuat kepada mereka.

“Saya juga tanya pelajar yang dituduh membuli, dia cakap tidak. Saya juga tanya 2 anak Hamid di depannya sendiri sama ada pernah mengadu kepada saya, mereka jawab tidak.

“Saya tidak tahu apa masalahnya, mungkin pergaduhan kecil antara kanak-kanak sahaja,” kata guru yang berasal dari Pakistan itu.

Menurutnya, beliau bersama guru dan pelajar yang berkaitan sudah memberikan kenyataan kepada polis.

Mandi bogel, kencing berdiri

Shahazad mendakwa ada kemungkinan 2 anaknya membuat tuduhan itu kerana tidak mahu lagi belajar di sana.

“Ada pelajar kata terdengar perbincangan mereka yang mahu memberi alasan kuat kepada bapa untuk mengeluarkan mereka dari sini. Saya rasa dia terlalu sayang dan percayakan anaknya,” katanya yang turut bertanggungjawab terhadap kebajikan pelajar.

Beliau kemudian mengeluarkan nota menunjukkan senarai kata-kata kesat dan makian yang menurutnya pernah dikeluarkan pasangan kembar itu kepada pelajar dan guru-guru di sana.

FMT bagaimanapun tidak dapat menerbitkan nota tulisan tangan itu kerana kandungan yang berbaur lucah.

Jawahar berkata, pelajar yang lebih tua juga pernah menegur 2 beradik itu kerana mandi berbogel dan kencing berdiri, perbuatan yang dilarang di sekolah itu.

“Tetapi untuk pukul hanya sebab itu, tidak sama sekali,” katanya.

Beliau menyerahkan isu tersebut kepada polis, dan akan terus memberikan kerjasama terhadap siasatan.

Beliau berkata pihak pentadbiran akan mengeluarkan surat berhenti sekolah kepada 2 pelajar itu. – fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *